Peter kecewa akibat vandalisme dan sindiket curi beri masalah sistem pembentungan di Sabah
23:12 Dec 01, 2018  |  By SabahKini2
Peter kecewa akibat vandalisme dan sindiket curi beri masalah sistem pembentungan di Sabah

Masalah vandalisme ini bukan kecil tetapi besar kerana melibatkan duit rakyat dan baru-baru ini kementerian meluluskan pembaikan pembentungan melibatkan peruntukan RM7 juta hingga RM8 juta bagi membeli pam termasuk panel switch board (papan suis)

Masalah utama sistem pembentungan di negeri ini dikesan akibat vandalisme dan sindiket mencuri peralatan kumbahan khususnya di Tawau dan Sandakan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata antara peralatan yang sering dicuri ialah pam, wayar, peralatan keluli selain papan suis utama dan punca akibat sindiket mencuri itu diperkuat lagi apabila seorang individu ditangkap baru-baru ini.

“Misalnya, kecurian ini salah satu punca pembentungan sekitar Tawau tidak berfungsi dan 70 peratus pembentungan berada dalam keadaan kritikal.

“Susulan itu, saya arahkan pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah berbincang dengan Majlis Perbandaran Tawau untuk cari mekanisme dan cara menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembentungan di Taman King Fook sehingga Taman Ria 6 di sini hari ini.

Peter yang dalam rangka lawatan kerja rasminya ke Tawau dan Semporna juga mahu semua pihak termasuk masyarakat bersama-sama kerajaan negeri memantau dan menjaga aset kerajaan.

“Masalah vandalisme ini bukan kecil tetapi besar kerana melibatkan duit rakyat dan baru-baru ini kementerian meluluskan pembaikan pembentungan melibatkan peruntukan RM7 juta hingga RM8 juta bagi membeli pam termasuk panel switch board (papan suis),” katanya.

Peter dalam pada itu turut mengumumkan kelulusan kementeriannya untuk pembaikan segera sistem pembentungan di Taman King Fook dan Taman Ria 3 serta 6.

“Antara masalah sistem pembentungan di taman perumahan terlibat selain vandalisme adalah berpunca daripada pengubahsuaian yang tidak dibenarkan di kawasan perumahan,” katanya lagi.

 

4 Comments