JKR Sabah ambil alih Projek Pan Borneo- Peter Anthony
13:12 Dec 06, 2018  |  By SabahKini2
JKR Sabah ambil alih Projek Pan Borneo- Peter Anthony

Dalam masa terdekat akan ada pelantikan-pelantikan kontraktor baru bagi menggantikan kontraktor fasa pertama yang ditamatkan operasinya.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berpotensi memperolehi penjimatan sehingga RM2 bilion melalui kos pembinaan Projek Mega Lebuh Raya Pan Borneo selepas pengambilalihan pelaksanaannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony satu keputusan akan dibuat melalui mesyuarat terakhir pada Rabu antara kementeriannya bersama Kementerian Kerjaya Raya Malaysia (KKRM) dalam proses pengambilalihan tersebut.

“Saya percaya akan ada satu keputusan yang akan dibuat di peringkat persekutuan dan saya amat yakin bahawa pengurusan pengambilalihan untuk pelaksanaan Pan Borneo akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri melalui JKR negeri.

“Kerana kita nampak pelaksanaannya sebelum ini, kita mampu melaksanakan Pan Borneo ini.

“Kerana di peringkat JKR, kita memiliki kesemua kepakaran dan keperluan untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabah 2018 di sini hari ini.

Tegasnya di peringkat kerajaan negeri, pihaknya akan meminta supaya pelaksanaan Pan Borneo diserahkan kepada Sabah sebagaimana saranan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa ia akan dikepalai oleh Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan negeri dan juga kementeriannya.

Beliau percaya bahawa, dalam masa terdekat juga akan ada pelantikan-pelantikan kontraktor baru bagi menggantikan kontraktor fasa pertama yang ditamatkan operasinya.

“Ada kontraktor fasa pertama telah ditamatkan operasinya disebabkan kualiti atau rekod mereka yang tidak baik.

“Buat masa itu kita masih menunggu sama ada ia dilantik di peringkat negeri ataupun sebaliknya.

“Tapi saya amat yakin bahawa satu keputusan yang baik untuk negeri sabah dan juga persekutuan akan dicapai dalam masa terdekat,” katanya.

Peter sudah mengarahkan JKR untuk menyerahkan sepenuhnya rekod yang melibatkan pelaksanaan serta kualiti pembinaan yang dilakukan oleh kontraktor-kontraktor dilantik sebelum ini.

Dalam pada iti, beliau mendapati berlakunya kepincangan kualiti-kualiti dan diragui dari segi penggunaan bahan mahupun ketebalan turap jalan raya.

“Semua rekod atau bukti-bukti ini menyokong bahawa perlunya penstrukturan semula ataupun penambahbaikkan bagi Pan Borneo,” jelasnya. -SabahNewsToday

5 Comments