UMNO Sabah tidak bubar kami punya jatidiri pejuang- Ketua Pemuda UMNO Sabah
21:12 Dec 11, 2018  |  By SabahKini2
UMNO Sabah tidak bubar kami punya jatidiri pejuang- Ketua Pemuda UMNO Sabah

Umno masih tetap mempunyai ahli. Timbalan ketua sekarang akan memangku tugas ketua bahagian. Kesemua bahagian masih kekal utuh

KOTA KINABALU:  Pemuda UMNO Sabah menafikan UMNO Sabah bakal dibubarkan dan berkata tidak akan meninggalkan parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Sabah  Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, tiada satupun daripada 25 bahagian akan ditutup, dan menambah secara strukturnya, parti itu kekal utuh. 

“Walaupun ada desas-desus bahawa ada pemimpin seperti Ketua Bahagian meninggalkan namun masih ramai pemimpin yang mempunyai jatidiri pejuang menggalas UMNO Bahagian.

“Umno masih tetap mempunyai ahli. Timbalan ketua sekarang akan memangku tugas ketua bahagian. Kesemua bahagian masih kekal utuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor dijangka akan mengumumkan keluar parti esok.

Kenyataan Penuh Ketua Pemuda UMNO Sabah seperti berikut-

Berita tular berkenaan UMNO Sabah akan dibubarkan adalah tidak benar sama sekali dan dimainkan oleh pihak lawan untuk memecahbelahkan kesatuan dan kekuatan dalam parti di peringkat akar umbi.

Sehingga kini, kesemua 25 Bahagian di negeri ini masih utuh dan kuat. Malah, UMNO di peringkat negeri sedang merencana dan menggerakkan usaha-usaha transformasi untuk memperkukuhkan UMNO di peringkat akar umbi agar terus relevan dengan lanskap dan keperluan politik pada masa kini.

Ini dapat dibuktikan melalui program-program khidmat masyarakat yang sedang giat dijalankan di setiap bahagian-bahagian. Malah sambutan yang diterima di peringkat akar umbi amat memberangsangkan.

Rata-rata, ahli di peringkat akarumbi mahukan kepimpinan UMNO terus bertahan dan istiqamah dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara walaupun sedang diasak oleh kerajaan dengan tekanan-tekanan yang lebih bersifatkan politik balas dendam.

Walaupun adanya desas desus bahawa beberapa pemimpin seperti Ketua Bahagian akan meninggalkan perjuangan parti kerana tidak mampan dengan tekanan-tekanan politik tersebut, namun hakikatnya lebih ramai pemimpin-pemimpin yang mempunyai jatidiri pejuang di peringkat bawah yang akan tampil beramai-ramai untuk menggalas dan memangku kepimpinan bahagian.

Ringkasnya, UMNO Sabah mempunyai struktur hirarki organisasi yang cukup sempurna dan teratur. Sekiranya pemimpin memilih haluan untuk meninggalkan perjuangan, UMNO Sabah tidak kering dengan pemimpin-pemimpin pelapis muda yang lebih bersih, dinamik serta energetik.

Akhir kalam, UMNO Sabah akan terus bersuara SUARA RAKYAT dan akan terus mempertahankan negeri ini daripada terus dijarah oleh polisi-polisi politik sang penguasa yang terus menerus menekan kehidupan rakyat.

UMNO perlu terus wujud sebagai BENTENG TERAKHIR rakyat di negeri ini.

Ir. Abdul Aziz Julkarnain
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah

 

12 Comments