Tun M sahkan Hajiji dan UMNO Sabah berjumpanya sebelum keluar parti
05:12 Dec 13, 2018  |  By SabahKini2
Tun M sahkan Hajiji dan UMNO Sabah berjumpanya sebelum keluar parti

Ya, mereka bertemu dengan saya dan memberi tahu saya mereka mahu meninggalkan Umno,” kata Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pemimpin Umno Sabah yang umum keluar parti hari ini menemui beliau minggu lalu.

“Ya, mereka bertemu dengan saya dan memberi tahu saya mereka mahu meninggalkan Umno,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Proton X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Perdana Menteri berkata, keputusan pemimpin-pemimpin Umno keluar parti itu atas kehendak sendiri, bukan dipaksa mana-mana pihak.

“Mereka nak keluar, mereka buat keputusan sendiri dan jika mereka tidak mahu keluar mereka boleh kekal,” katanya.

Ditanya sama ada PH akan menerima wakil-wakil rakyat yang keluar itu sebagai ahli dalam gabungan parti PH, Dr Mahathir berkata mereka akan membuat penilaian terlebih dahulu berdasarkan rekod lalu.

“Kita perlu melihat bagaimana kelakuan mereka. Sekiranya mereka menyokong dan tidak melakukan apa-apa (yang tidak wajar) sebelum ini, kami boleh menerima mereka.

“Buat masa ini mereka perlu kekal Bebas dan menyokong kerajaan,” katanya.

Beliau diminta mengulas kedudukan Umno Sabah Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli Bebas.

Desas-desus bekas pemimpin UMNO Sabah keluar parti dan menubuhkan PPBM di Sabah sangat kuat sebagai syarat keluar beramai-ramai itu.

Comment