Ahli Parlimen UMNO sertai PH satu perkembangan berbahaya - Ramkarpal DAP
16:12 Dec 13, 2018  |  By SabahKini2
Ahli Parlimen UMNO sertai PH satu perkembangan berbahaya - Ramkarpal DAP

Mengapa Ahli Parlimen Bukit Gelugor DAP, Ramkarpal Singh takut sangat wakil rakyat UMNO menyertai PPBM?

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO keluar parti dan berpaling kesetiaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dianggap satu perkembangan berbahaya selain menentang sepenuhnya kehendak rakyat yang menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, berkata tindakan menerima pemimpin UMNO menyertai Pakatan Harapan (PH) juga adalah pengkhianatan kepada rakyat yang mahukan perubahan sebenar dan bukan sekadar sentuhan kosmetik, di mana pemimpin lama menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu.

“Saya tertanya-tanya, jika PH kalah pada pilihan raya akan datang, adakan Ahli Parlimen kita akan melakukan tindakan sama dan dengan mudahnya melompat ke sebelah sana?

“Isu di sini bukan sejauh mana Ahli Parlimen UMNO layak menjadi sebahagian daripada PH dengan menyertai salah satu parti komponen tetapi bagaimana tindakan itu boleh menggugat komitmen PH ini dalam usaha untuk melakukan perubahan dan pembaharuan.

“Ahli Parlimen UMNO itu adalah sebahagian daripada sistem yang PH komited untuk lakukan perubahan sebelum ini dan bagi menzahirkan hasrat terbabit, pertamanya PH tidak boleh menerima mereka kerana jelas bertentangan dengan apa yang diperjuangkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ramkarpal lagi, alasan yang diberikan oleh pemimpin terbabit untuk meninggal UMNO, kononnya disebabkan parti itu sudah tiada hala tuju juga sesuatu yang mencuit hati kerana lapan bulan sebelum ini, UMNO adalah satu-satunya arah tujuan hidup mereka.

Katanya, lebih banyak PH menerima pemimpin yang melompat parti itu, lebih ramai rakyat yang akan kecewa dengan PH.

Ini kerana perubahan bukan bermaksud hanya mendakwa bekas pemimpin utama dan timbalannya atas kesalahan yang dilakukan tetapi apa yang lebih penting ialah pembongkaran dasar dan pembasmian rasuah yang berleluasa di bawah pemerintahan UMNO selama beberapa dekad.

“PH tidak memerlukan pemimpin atau Ahli Parlimen UMNO ini. Ia hanya perlukan lebih ramai lelaki dan wanita yang berprinsip untuk meneruskan agenda pembaharuan.

“Diharapkan Perdana Menteri mengambil kira ketidakpuasan hati rakyat dalam menerima bekas pemimpin UMNO kerana ia mungkin menjadi pengkhianatan terbesar untuk mereka (rakyat),” katanya.- BH

10 Comments