Bukan salah Zahid, UMNO Sabah tidak terikut-ikut desakan letak jawatan- Bung
21:12 Dec 15, 2018  |  By SabahKini2
Bukan salah Zahid, UMNO Sabah tidak terikut-ikut desakan letak jawatan- Bung

Mereka yang keluar parti adalah pilihan masing-masing. UMNO Bahagian distruktur semula untuk memimpin bahagian. UMNO Sabah akan bangkit segera

KUALA LUMPUR – Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima asakan bertubi-tubi untuk melepaskan jawatan, namun UMNO Sabah tidak sedikit pun menyalahkan beliau.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang baharu, Datuk Seri Bung Moktar Radin tegas menyatakan bahawa UMNO Sabah tidak akan sesekali ikut rentak pihak-pihak tertentu yang menekan Zahid supaya berundur dengan alasan kononnya demi survival parti.

“UMNO Sabah tidak akan berbuat demikian (desak Zahid berundur), kerana kita melihat kecenderungan keluar parti ini bukan salah Presiden UMNO.

“Ini semua kerana mereka memang dah ada plan (perancangan) untuk keluar parti,” kata beliau.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga menegaskan, UMNO Sabah akan bangkit dengan segera dan memberi keyakinan ia akan menjadi lebih kuat berbanding sebelum ini.

“UMNO Sabah InshaALLAH, saya baru sebentar tadi mengadakan perbincangan dengan pimpinan UMNO Negeri tentang penstrukturan semula UMNO bahagian-bahagian. Dan kami telah mengenal pasti pemimpin di bahagian masing-masing yang masih setia dengan UMNO.

“Saya percaya dengan kesanggupan pemimpin-pemimpin muda untuk menggalas tugas memimpin bahagian, UMNO Sabah akan pulih semula dan kami akan lebih kuat daripada dahulu,” ujar beliau lagi.

Bung Moktar, yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut memberitahu bahawa UMNO Negeri menerima maklumat daripada akar umbi bahawa ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan rata-ratanya masih sayang dan setia pada UMNO.

“Parti UMNO berbeza dengan yang lain sebab pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi perjuangan parti mesti diteruskan, 100 yang pergi 1,000 yang tampil kehadapan untuk meneruskan perjuangan,” tambah beliau lagi.

Baru-baru ini, terdapat 21 orang Ketua UMNO Bahagian termasuk 9 orang ADUN, 4 Ahli Dewan Rakyat dan 2 Ahli Dewan Negara (Senator) daripada UMNO telah mengumumkan keluar parti.

Mereka terdiri daripada mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang juga merupakan ADUN Sulaman, dan beberapa orang ADUN lagi iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musa (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan juga Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Empat Ahli Dewan Rakyat yang terlibat adalah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran). Manakala dua Ahli Dewan Negara yang dimaksudkan pula ialah Datuk John Ambrose yang juga merangkap Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

4 Comments