Hajiji Nafi surat layang ‘amatur’ mengaitkan dirinya, PPBM dan projek IC
00:12 Dec 29, 2018  |  By SabahKini2
Hajiji Nafi surat layang ‘amatur’ mengaitkan dirinya, PPBM dan projek IC

Surat itu, yang tular di media sosial dan dilapor oleh beberapa blog itu kelihatan amat ‘amatur’ terlalu ketara direka oleh pihak tertentu.

KOTA KINABALU: Bekas Pengerusi Umno Sabah, Datuk Hajiji Noor membuat penafian bahawa dia penulis surat rahsia yang menggesa ahli Umno Sabah bersatu bawah PPBM.

Surat itu, yang tular di media sosial dan dilapor oleh beberapa blog itu kelihatan amat ‘amatur’ terlalu ketara direka oleh pihak tertentu.

Dengan kepala surat yang sangat ‘janggal’ dan persis surat layang surat itu menggesa pembaca mencari mereka yang menerima kerakyatan melalui Projek IC 1.0 hingga 4.0 untuk dijadikan ahli PPBM.

Surat itu cuba mengaitkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Projek IC, mengatakan ia berjaya meningkatkan penduduk Sabah secara drastik.

Surat itu juga menjanjikan satu lagi Projek IC iaitu Projek IC 5.0 pada 2020 untuk mempersiapkan PPBM menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya dan kawan-kawan bekas pimpinan Umno Sabah tiada kaitan dengan apa sahaja yang dituduh dan ditularkan di media sosial.

“Saya nafi sekeras-kerasnya tuduhan itu dan ia fitnah untuk merosakkan dan mencamar nama baik dan reputasi saya sebagai Adun Sulaman,” katanya kepada media hari ini.

Beliau percaya surat itu ditulis oleh pihak-pihak tertentu dengan niat untuk sengaja mengaitkan namanya, Dr Mahathir dan PPBM dengan Projek IC.

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Sabah itu berkata dia dan bekas ketua-ketua Umno Sabah lain akan terus berjuang untuk hak dan kepentingan rakyat negeri itu.

“Saya sedang menyiasat perkara ini dan sudah mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang termasuk menyaman pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan artikel fitnah itu, terutama 2 blog berkenaan.

“Saya harap pengamal media sosial akan lebih berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab dan mengelakkan penyebaran artikel yang tidak berasas dan memfitnah kerana ia mendatangkan keburukan kepada masyarakat,” katanya.

Hajiji dan beberapa pemimpin Umno Sabah meninggalkan parti itu pada 12 Disember lepas. Mereka tidak mengatakan arah tujuan mereka, tetapi desas-desus mengatakan kumpulan itu akan menyertai PPBM.

 

1 Comment