Perwakilan PPBM Cadang Tun M kekal PM hingga PRU15
14:12 Dec 30, 2018  |  By SabahKini2
Perwakilan PPBM Cadang Tun M kekal PM hingga PRU15

Cadangan itu disampaikan perwakilan negeri BERSATU ketika membahaskan ucapan dasar Pengerusi BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini, sempena Persidangan Agung Tahunan BERSATU.

BEBERAPA perwakilan negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mencadangkan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Cadangan itu disampaikan perwakilan negeri BERSATU ketika membahaskan ucapan dasar Pengerusi BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini, sempena Persidangan Agung Tahunan BERSATU.

Difahamkan, cadangan itu diutarakan oleh perwakilan Kelantan yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bachok, Zulkifli Zakaria yang mahu Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU, kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15.

"Ada beberapa perwakilan yang cadang. Pertama sekali keluar daripada wakil Kelantan," kata seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU ketika ditemui, hari ini.

Perkara itu turut disahkan seorang lagi perwakilan yang juga Ketua Bahagian BERSATU Selayang, Zulkifli Mohamad yang berkata, sekurang-kurangnya lapan perwakilan negeri mencadangkan supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15, ketika sesi perbahasan.

"Setiap kali cadangan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga PRU15 diusulkan, semua perwakilan berdiri, memberi tepukan sambil melaungkan 'Hidup Tun' sebanyak tiga kali," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga ahli Majlis Pimpinan Teringgi BERSATU, Muhammad Zahid Mat Arip ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, Setiausaha Agung BERSATU akan keluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

"Kenyataan akan dibuat oleh Setiausaha Agung. Saya tidak boleh beri kenyataan," katanya.

2 Comments