Operasi banteras kegiatan 'Zero Tourism' mulai tahun depan - Mohamaddin
15:12 Dec 30, 2018  |  By SabahKini2
Operasi banteras kegiatan 'Zero Tourism' mulai tahun depan - Mohamaddin

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata langkah itu penting bagi memastikan pemain industri pelancongan tempatan mendapat manfaat selain perniagaan diusahakan termasuk hotel; rumah inap desa; dan restoran berjalan lancar serta menerima kehadiran serta

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menjalankan operasi secara besar-besaran dalam usaha membanteras kegiatan 'Zero Tourism' sekali gus menangani masalah itu daripada terus berleluasa di negara ini khususnya di Sabah mulai tahun depan.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata langkah itu penting bagi memastikan pemain industri pelancongan tempatan mendapat manfaat selain perniagaan diusahakan termasuk hotel; rumah inap desa; dan restoran berjalan lancar serta menerima kehadiran serta tempahan pengunjung.

Menurutnya, kegiatan 'Zero Tourism' yang berlaku ketika ini dilihat menjejaskan pengusaha industri pelancongan tempatan berikutan aktiviti serta pergerakan pelancong termasuk tempat penginapan dan restoran telah diatur serta ditentukan sendiri oleh ejen pelancongan dari luar.

"Kita akan mengambil tindakan tegas bagi menangani isu 'Zero Tourism' ini kerana kita mahu pemain industri tempatan dapat menjana pendapatan, dan sepatutnya tempahan termasuk hotel penginapan atau kemudahan bas seharusnya dibuat dalam negara kita, bukannya menerusi ejen pelancongan dari luar.

"Situasi itu akan menyebabkan peniaga tempatan tidak menerima pelancong kerana ejen pelancongan luar telah mengatur sendiri tempat tertentu untuk pelancong dari negara mereka yang datang ke sini," katanya kepada pemberita selepas sesi temubual secara langsung menerusi radio SabahFM di sini, pada Sabtu.

Mohamaddin turut mengesa ejen pelancongan luar menjalin kerjasama dengan ejen pelancongan tempatan bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat secara bersama, dan MOTAC sama sekali tidak membenarkan ejen pelancongan luar memonopoli sektor pelancongan tempatan.

Sementara itu, Mohamaddin turut menepis dakwaan kononnya Sabah mengalami kekurangan pelancong dan menyifatkan dakwaan itu tidak benar kerana statistik menunjukkan seramai 3.15 juta pelancong melawat Sabah mulai Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu peningkatan +1.1 peratus berbanding sejuta pelancong dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Terdahulu, dalam sesi temubual bersama radio SabahFM, Mohamaddin berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah bagi memantapkan lagi sektor pelancongan Sabah dengan memberi tumpuan produk pelancongan di Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

Beliau berkata Sabah juga akan ditonjolkan sebagai 'Malaysia's Favorite Destination' dalam Pameran Pelancongan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada Mac tahun depan bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama bagi pasaran domestik.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin turut memaklumkan beberapa aspek dalam Akta Industri Pelancongan 1992 yang dipinda pada 10 Jan lepas akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun depan ke arah memastikan penggiat industri pelancongan sah menjalankan perniagaan dengan yakin.

"Antara pindaan akta ini termasuklah peningkatan kadar denda bagi peniaga tanpa lesen yang sah. Jika disabitkan kesalahan boleh mengakibatkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya juga ingin memaklumkan sekali lagi bahawa kementerian akan mengecualikan fi pendaftaran Premis Penginapan Pelancongan berjumlah RM70 kepada semua pengusaha premis pelancongan termasuk hotel; resort; rumah tumpangan; asrama dan rumah inapan mulai 1 Jan hingga 31 Mac 2019," katanya.

Justeru, kementerian menggesa semua pengusaha premis penginapan yang belum berdaftar untuk mengambil peluang itu dan mendaftarkan premis penginapan mereka sebelum memohon lesen perniagaan di Pihak Berkuasa Tempatan, katanya.

4 Comments