Autonomi untuk UMNO Sabah bantu kuatkan parti
02:01 Jan 05, 2019  |  By SabahKini2
Autonomi untuk UMNO Sabah bantu kuatkan parti

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, berkata selain diberi autonomi penuh, UMNO Sabah juga kini hanya dikenali sebagai UMNO Sabah dan bukan lagi perhubungan, mulai tahun ini.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah yakin kepemimpinan baharu parti itu dengan kuasa autonomi yang diberikan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO mampu membangkitkan semula parti itu di negeri ini.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, berkata selain diberi autonomi penuh, UMNO Sabah juga kini hanya dikenali sebagai UMNO Sabah dan bukan lagi perhubungan, mulai tahun ini.

“Permintaan UMNO Sabah untuk mendapat autonomi sepenuhnya dipersetujui 100 peratus dan ini memberi peluang kepada kita sendiri menentukan hala tuju serta pemilihan calon yang boleh menang pada pilihan raya nanti.

“Kita juga berhak untuk menentukan dengan siapa mahu bergabung tanpa mengikut kepemimpinan UMNO di Semenanjung,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.

Mengenai mesyuarat itu, Bung Moktar, berkata ia bagi mengenal pasti bahagian UMNO di Sabah yang perlu mengadakan mesyuarat agung khas (EGM), untuk memilih pimpinan baharu dalam masa terdekat.

“Ada empat bahagian yang memerlukan EGM iaitu Ranau, Tuaran, Sipitang dan Pensiangan. Pada masa ini, semua ketua sayap peringkat negeri masih kekal, manakala ketua puteri Bahagian yang masih kekal adalah seramai 16, wanita (14) dan pemuda (15).

“EGM ini perlu dipercepatkan dalam usaha kita untuk bangkit dalam menghadapi pilihan raya nanti. Ia kerana kekuatan peringkat akar UMNO masih ada,” katanya.

Mengenai jika ada bekas ketua atau ahli UMNO yang mahu menyertai semula parti itu, Bung Moktar berkata ‘wait and see’ (tunggu dan lihat), perkara itu akan dipertimbangkan.

“UMNO Sabah juga tidak ada pakatan dengan mana-mana parti setakat ini,” katanya.

 

 

2 Comments