LHDN Sabah kutip RM10.1 Juta hasil Program Pengakuan Sukarela- Hajam
09:01 Jan 05, 2019  |  By SabahKini2
LHDN Sabah kutip RM10.1 Juta hasil Program Pengakuan Sukarela- Hajam

Dua lelaki dari Semporna- Datuk Hajam dan Dato' Seri Shafie Apdal

Program PKPS ini merupakan satu daripada usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan yang sepatutnya untuk meningkatkan kutipan hasil untuk pembangunan negara.

KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHND) Sabah meraih sebanyak RM10.1 juta daripada pelbagai kategori percukaian menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang dilancarkan sejak November tahun lalu.

Pengarah LHDN negeri, Datuk Hajam Lajah Alam berkata sebanyak 156 pembayar cukai juga direkodkan oleh jabatan itu telah menunaikan tanggungjawab mereka menerusi program berkenaan bagi tempoh Disember 2018 hingga hari ini .

Menurutnya kutipan itu turut melibatkan cukai tambahan dan penalti yang ditaksir sekitar RM27.03 juta.

“Program PKPS ini merupakan satu daripada usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan yang sepatutnya untuk meningkatkan kutipan hasil untuk pembangunan negara.

“Sehubungan itu kita minta semua pembayar cukai datang ke pejabat LHDN membuat pengakuan secara sukarela kerana ini peluang terbaik mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Hajam berkata tawaran bagi program PKPS itu dibuka kepada kategori pembayar cukai individu, syarikat dan organisasi iaitu mereka yang tidak pernah mendaftar fail cukai pendapatan atau pembayar cukai berdaftar tetapi belum melaporkan pendapatan.

Katanya pembayar cukai individu, syarikat dan organisasi yang tidak melaporkan keuntungan pelupusan aset dan gagal menyetemkan surat cara juga dialu-alukan mengambil peluang dalam program itu.

Tambahnya lagi, LHDN menawarkan kadar penalti rendah antara 10 peratus dan 15 peratus kepada mana-mana pembayar cukai yang tampil pembuat pengakuan sepanjang program PKPS berlangsung sehingga 30 Jun tahun ini.

Comment