The Star cemar imej saya minta maaf atau saman?- Shafie Apdal
07:11 Nov 15, 2017  |  By SabahKini2
The Star cemar imej saya minta maaf atau saman?- Shafie Apdal

"Justeru anda dituntut untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada anak guam kami pada 19 November ini, di muka depan akhbar Sunday Star dan memaklumkan kepada kami sumber maklumat anda."- Law Practice of Rafique

Peguam kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Dato' Seri Shafie Apdal telah menghantar notis tuntutan kepada Star Media Group Berhad berkenaan satu laporan khas yang diterbitkan akhbar The Star pada 29 Oktober lalu. 

Shafie mendakwa artikel bertajuk "MACC sifting through the flow of RM48 million cash" itu bersifat fitnah.

Notis tuntutan yang dihantar firma guaman Law Practice of Rafique  mendakwa laporan itu menjatuhkan reputasi Shafie, sedangkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai.

"Artikel itu membuat beberapa dakwaan yang membimbangkan, mengarut dan bernada fitnah," kata notis tersebut 

Surat itu menyatakan yang maklumat dalam artikel itu "dalam siasatan" dan hanya boleh didedahkan jika bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu didakwa di mahkamah.

"Jelas yang artikel yang dipersoalkan ini mencemarkan reputasi Shafie yang bukan sahaja seorang anggota parlimen, tetapi pernah menjadi menteri kanan dalam kabinet (Datuk Seri) Najib Abdul Razak dan sekarang tokoh utama dalam landskap politik Sabah melalui Parti Warisan Sabah, parti baru yang hari demi hari mendapat sokongan," kata surat itu lagi.

Kata surat itu, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya, dan walaupun SPRM telah memberi amaran akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang membuat kenyataan di media, The Star tetap menerbitkan artikel itu dengan memetik sumber dalaman SPRM.

Dengan menerbitkan artikel itu, The Star dan SPRM telah menjejaskan proses undang-undang dan menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap Shafie dan merosakkan imejnya di mata umum, kata surat itu lagi.

"Justeru anda dituntut untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada anak guam kami pada 19 November ini, di muka depan akhbar Sunday Star dan memaklumkan kepada kami sumber maklumat anda.

"Tindakan undang-undang akan diambil jika (The Star) gagal berbuat demikian," kata surat itu lagi.

Shafie ditahan pada 19 Oktober lalu, dalam siasatan SPRM berhubung kes penyelewengan dana projek pembangunan luar bandar antara 2009 hingga 2015.

Selain Shafie, adiknya Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Yusof Apdal, Haji Hamid, Peter Anthony Naib Presiden Warisan, Azis Jamman Ketua Wira Warisan, Yu Sinkong dan beberapa orang lagi ditahan.

Dalam artikel The Star sejumlah wang RM48 juta selain 14 syarikat yang punya hubungan dengan proksi dan adik Shafie Apdal didedahkan dalam satu gambarajah aliran "the money trail".

Setakat ini Shafie Apdal hanya meminta The Star memohon maaf tetapi tidak kepada themalaymailonline dan thamalaysiainsight yang juga menyiarkan artikel sama. 

 

Comment