Sehubungan itu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, adalah wajar bagi Kerajaan Negeri Sarawak agar tidak membuat ‘fitnah’ berhubung isu agihan RM2.7 juta cukai pelancongan kepada kerajaan negeri itu.

“Negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada Kerajaan Persekutuan?” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan Persekutuan masih berhutang kepada Kerajaan Negeri Sarawak hasil kutipan cukai pelancongan sebanyak RM2.7 juta.

Abdul Karim menjelaskan, jumlah itu adalah hasil kutipan bagi tempoh 1 September hingga 31 Disember 2017 iaitu sebanyak RM439, 731 dan sebanyak RM2.32 juta untuk 1 Januari hingga September 2018.

Katanya, Sabah telah menerima hasil cukai berkenaan.

Menjawab perkara itu Guan Eng memberitahu, kenyataan Abdul Karim adalah tidak benar kerana tidak ada negeri lain termasuk Sabah yang menerima agihan pelancongan sepertimana didakwa Abdul Karim.

“Kerajaan Persekutuan tidak memihak kepada mana-mana negeri dengan mengagihkan cukai pelancongan kepada negeri tertentu tetapi pada masa yang sama, tidak memberinya kepada negeri Sarawak. 

“Setakat ini, tiada agihan cukai pelancongan pernah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu beliau menambah, cukai pelancongan dari segi undang-undang merupakan hasil Kerajaan Persekutuan dan tidak timbul hak untuk mana-mana negeri untuk menerimanya.

Namun begitu, kata beliau, Kerajaan Pakatan Harapan telah mengumumkan dalam ucapan Bajet 2019 perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan yang diterima di negeri berkenaan bermula tahun 2019.

“Perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan atas ihsan Kerajaan Persekutuan, agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan akan dibuat untuk semua kerajaan negeri dalam suku pertama tahun ini,” katanya. - UM