Sabah juga belum terima hasil cukai pelancongan daripada kerajaan persekutuan - Liew
08:01 Jan 08, 2019  |  By SabahKini2
Sabah juga belum terima hasil cukai pelancongan daripada kerajaan persekutuan - Liew

Kami (Sabah) berharap untuk menerima bahagian 50 peratus kami daripada hasil cukai pelancongan 2018- Liew

KOTA KINABALU- Sabah belum menerima 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan daripada kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, menjelaskan kenyataan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada 4 Jan bahawa Sabah telah menerima cukai pelancongan daripada kerajaan Persekutuan.

"Sabah belum menerima bahagiannya daripada hasil cukai pelancongan yang terhutang dengan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat N15 Api-Api di sini hari ini.

Bagaimanapun, Liew turut menyambut baik kenyataan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa agihan sebanyak 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan 2018 akan dibuat kepada semua kerajaan negeri pada suku pertama 2019.

Pada 6 Jan, Lim berkata akaun mengenai kutipan cukai pelancongan 2018 akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan kerajaan Persekutuan belum mengagihkan sebarang hasil cukai kepada kerajaan negeri.

Liew berkata berdasarkan anggaran oleh Lembaga Pelancongan Sabah, hasil cukai pelancongan yang terhutang dengan kerajaan Sabah sebanyak RM2.2 juta dari 1 Sept, 2017 hingga 31 Dis, 2017, dan RM12.5 juta dari 1 Jan, 2018 hingga 31 Dis, 2018.

"Kami (Sabah) berharap untuk menerima bahagian 50 peratus kami daripada hasil cukai pelancongan 2018," katanya.

Liew berkata hasil cukai pelancongan disalurkan kembali ke negeri-negeri untuk membiayai usaha promosi pelancongan, membaik pulih kemudahan pelancongan dan membina infrastruktur pelancongan.

Beliau berkata di bawah Akta Pelancongan 2017 yang disemak semula, pelaksanaan cukai pelancongan berkuat kuasa pada 1 Sept, 2017 dengan setiap pelancong asing dikenakan kadar rata sebanyak RM10 satu bilik satu malam untuk semua kelas penginapan hotel.

"Ini termasuk asrama, hotel, inns, rumah rehat dan rumah penginapan. Pelancong tempatan dikecualikan daripada membayar cukai itu. Terdapat lebih 11 juta bilik hotel di negara ini, sebanyak 75 peratus daripadanya terdapat di Semenanjung manakala 25 peratus lagi di Sabah dan Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

Comment