Tuntut RM400 ribu: Polis Sabah sahkan nelayan diculik Samsul Saguni dari Indonesia
20:01 Jan 09, 2019  |  By SabahKini2
Tuntut RM400 ribu: Polis Sabah sahkan nelayan diculik Samsul Saguni dari Indonesia

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata pihaknya sudah menghubungi rakan sejawatan di Filipina yang mengesahkan lelaki menangis dan merayu bantuan dalam rakaman video itu ialah Samsul Saguni.

Individu merayu dalam video disahkan Samsul Saguni

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan satu klip video yang dimuat naik ke YouTube ialah seorang nelayan Indonesia yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Gaya, Semporna, tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata pihaknya sudah menghubungi rakan sejawatan di Filipina yang mengesahkan lelaki menangis dan merayu bantuan dalam rakaman video itu ialah Samsul Saguni.

“Kami terima pengesahan video itu dirakam di Filipina dan dihantar penculik kepada majikan Samsul untuk menuntut wang tebusan 4 juta peso (RM400,000),” katanya kepada wartawan hari ini.

Omar berkata, Samsul diculik bersama Usman Yunus di Semporna pada 11 September lalu. Bagaimanapun, Usman berjaya melarikan diri dan pulang ke pangkuan keluarganya.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, Samsul dan Usman bersama 2 yang lain sedang menangkap ikan di perairan itu, sebelum sekumpulan lelaki bersenjatakan M16 menaiki bot mereka.

Samsul dan Usman diculik kumpulan lelaki itu, tetapi 2 lagi rakan mereka berjaya mengelak dengan bersembunyi di bawah timbunan papan lapis dan karung guni di dalam bot nelayan itu.

Dalam video pendek itu, Samsul dilihat mencangkung dalam satu lubang dengan hanya berseluar pendek dan tangannya di belakang badan.

Dua individu berpakaian seragam tentera dilihat mengacukan sesuatu seperti senapang ke arah mangsa yang sedang merayu meminta bantuan. Bagaimanapun, mereka hanya boleh dilihat dari paras pinggang ke bawah.

Difahamkan, ini adalah kes culik pertama dalam hampir 2 tahun.

Bulan lalu, 3 nelayan yang terdiri daripada 2 warga Indonesia dan seorang rakyat Malaysia, turut diculik di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, di pantai timur. Mereka dikenal pasti sebagai Heri Ardiansyah, Jari Abdullah dan Hariadin.

Omar tidak menolak kemungkinan dalang di sebalik penculikan itu ialah seorang daripada 18 suspek yang dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Baru-baru ini, Esscom mengeluarkan senarai terbaru yang mengandungi nama dan gambar 18 warga asing dikehendaki atas jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Kami sedang mendapatkan bantuan daripada rakan sejawatan di Filipina dan Cawangan Khas kami turut memburu kumpulan lelaki terbabit.

“Buat masa ini, tiada tanda mereka di Sabah.” - FMT

 

1 Comment