Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, Wisma Putra memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu rumit dunia diplomasi dan hasil rundingan di peringkat pegawai dibawa ke pertimbangan Menteri Luar Negeri sebelum diputuskan oleh Perdana Menteri. 

Sekiranya hasil rundingan gagal maka usaha-usaha lain akan dilaksana secara berhemah dan bijaksana dengan membawa isu berkaitan ke pengadilan atau tribunal antarabangsa.

"Singapura adalah salah satu rakan Malaysia yang sering menjadi sekutu yang rapat dalam memperjuangkan pendirian dalam isu-isu multilateral dan antarabangsa di mana Malaysia dan Singapura mempunyai nilai-nilai persamaan. 

"Nilai dan elemen seperti inilah yang perlu diambilkira dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang sihat. Janganlah kerana keegoaan kita memusnahkan apa yang telah dibina selama ini," kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, negara jiran selama ini memuji kecekapan dan kebijaksanaan diplomasi yang ditonjolkan Malaysia. 

Kecekapan tersebut merupakan hasil rundingan dan usaha diplomatik disebalik tabir oleh pegawai-pegawai Wisma Putra yang bekerja tanpa mengira masa yang telah membuahkan kejayaan cemerlang bagi negara. 

KENYATAAN AKHBAR OLEH YB DATO' SRI ANIFAH HAJI AMAN MENGENAI HUBUNGAN DIPLOMASI ANTARA MALAYSIA DAN SINGAPURA
17 Januari 2019

Saya merasa terpanggil untuk menyampaikan pandangan berkaitan isu dua hala antara Malaysia dengan Singapura yang telah menjadi berita sensasi dalam media kedua-dua negara.

Sewaktu saya melaksanakan amanah selaku Menteri Luar Negeri Malaysia, saya juga seringkali berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mengurus hubungan bilateral dengan negara tetangga kita.

Walaupun banyaknya dugaan dan halangan, kita sentiasa dapat mengharungi semua ujian dengan tenang dan berkesan.

Negara jiran tetangga sering memuji kecekapan dan kebijaksanaan diplomasi yang kita tonjolkan. Sudah tentunya ia merupakan hasil rundingan dan usaha diplomatik disebalik tabir oleh pegawai-pegawai Wisma Putra yang bekerja tanpa mengira masa yang telah membuahkan kejayaan cemerlang bagi negara.

Wisma Putra memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu rumit dunia diplomasi. Hasil rundingan di peringkat pegawai dibawa ke pertimbangan Menteri Luar Negeri sebelum diputuskan oleh Perdana Menteri.

Sekiranya kata putus gagal dicapai, maka usaha-usaha lain akan dilaksana membawa isu berkaitan ke pengadilan atau tribunal antarabangsa. Usaha seperti ini sudah tentu dilakukan secara berhemah dan bijaksana.

Kita tidak seharusnya dan dengan sewenang wenangnya melakukan sebarang tindakan provokasi atau membiarkan sesiapa sahaja tanpa maklumat serta latar belakang yang kukuh memberikan komen tanpa memikirkan akan kesan dari tindakan seperti itu.

Dunia diplomasi juga melibatkan aspek multilateral yang menuntut kerjasama antara negara. Kita menghargai dan memandang tinggi pada kerjasama serantau terutamanya ASEAN.

Singapura adalah salah satu rakan Malaysia yang sering menjadi sekutu yang rapat dalam memperjuangkan pendirian dalam isu-isu multilateral dan antarabangsa dimana Malaysia dan Singapura mempunyai nilai-nilai persamaan.

Nilai dan elemen seperti inilah yang perlu diambilkira dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang sihat. Janganlah kerana keegoaan kita memusnahkan apa yang telah dibina selama ini.