Video tarian hakim, peguam, menteri cetus kebimbangan badan kehakiman
07:01 Jan 20, 2019  |  By SabahKini2
Video tarian hakim, peguam, menteri cetus kebimbangan badan kehakiman

"Nak menari dalam acara peribadi soal tuan punya badan. "Tapi dalam acara rasmi, tokoh kehakiman dan eksekutif kena jaga imej kebebasan dan integriti institusi kehakiman.

SHAH ALAM - Penularan sebuah video tarian di atas pentas yang melibatkan menteri, hakim dan peguam kontroversi dalam satu majlis makan malam mencetuskan kebimbangan tentang ketelusan badan kehakiman negara.

Menurut seorang warganet, Abdul Rahim Hilmi Zakariya, tindakan pegawai kanan pejabat peguam negara dan kehakiman menyertai majlis sosial tersebut dilihat telah melanggar doktrin pengasingan kuasa antara badan kehakiman dan perundangan.

“Anda lihat, saya tidak mahu komen tarian itu cantik atau tidak. Saya juga tidak mahu komen bolehkah seorang menteri dan peguam dan aktivis kontroversi menari bersama atau tidak, tetapi saya tidak senang apabila pegwai kanan pejabat peguam negara dan kehakiman terutamanya boleh bersosial sebegitu dengan ahli politik dan individu yang banyak kontroversi.

“Tuan-tuan, kehidupan sebagai hakim ini ada adab susilanya, ada kehormatannya, ada kerahsiaannya, ada privasinya dan tidak boleh menonjol sosialnya. Apatah lagi dengan individu dan ahli politik yang kedudukan dan parti mereka mempunyai kepentingan dalam kes undang-undang.


“Apa-apa keputusan penghakiman akan datang, sekiranya memihak kepada parti ahli politik ini atau individu terlibat, boleh dilihat sebagai tidak adil dan memihak,” katanya.

Semalam muncul sebuah klip video yang menunjukkan menteri itu, pegwai kanan pejabat peguam negara dan kehakiman serta peguam kontroversi menari mengikut rentak lagu pada Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan.

Dalam pada itu, Abdul Rahim yang berasal dari Bukit Tunggal, Kuala Terengganu berkata, para hakim sejak dari dahulu memilih kehidupan yang tersendiri dan penuh privasi demi menjaga integriti dan kesucian institusi kehakiman.

“Sehingga makan tengah hari di pejabat pun tidak berteman. Ayahanda saya yang pernah mengemudi pentadbiran mahkamah-mahkamah di Terengganu dekad 90-an dahulu selalu bercerita bagaimana rakan-rakannya yang menjadi hakim mengelak untuk minum bersama di ruang awam atau bertegur sapa berlebihan apabila terserempak di jalanan,” katanya.

Beliau turut memetik kata-kata mendalam bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa berkenaan kehidupan sebenar dan sewajarnya bagi seorang hakim.

“Para hakim tidak sepatutnya dikenali. Keadilan adalah buta."

Perlu konsisten

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan kritikan pada 2016 terhadap Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi yang merupakan peguam negara ketika itu dikritik susulan klip video memaparkannya menari bersama beberapa pemimpin BN.

"Nak menari dalam acara peribadi soal tuan punya badan.

"Tapi dalam acara rasmi, tokoh kehakiman dan eksekutif kena jaga imej kebebasan dan integriti institusi kehakiman.

"2016 kita pernah persoal AG, Menteri menari di acara Merdeka. Kita mesti konsisten," katanya.

Ketika beberapa pihak mempertahankan tindakan personaliti perundangan dan kehakiman menari bersama di sebuah acara rasmi, peguam Haniff Khatri Abdulla pula tetap menganggap perkara itu boleh menimbulkan "persepsi negatif" dalam kalangan masyarakat yang menggugat prinsip pengasingan kuasa.

"Tidak boleh dinafikan bahawa tularan tingkah laku tersebut yang dipaparkan dalam video-video berkenaan semestinya akan menimbulkan persepsi seolah-olah kedaulatan undang-undang dan prinsip pengasingan kuasa di antara bidang kehakiman (ketua hakim negara dan peguam negara) dengan eksekutif (menteri undang-undang) boleh dan telah digugat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Haniff berkata demikian sebagai menafikan tanggapan yang menuduh beliau sengaja berdiam diri daripada mengulas klip video yang memaparkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menari bersama dalam program Legal Year Gala Dinner 2019 anjuran Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) di Kota Kinabalu.

Untuk rekod, pada 2016, Haniff membuat kritikan terhadap Mohamed Apandi Ali yang merupakan peguam negara ketika itu susulan tularan klip video memaparkannya menari bersama beberapa menteri BN.

4 Comments