Buat masa sekarang UMNO Sabah fokus kepada mengukuhkan parti- Bung Moktar
10:02 Feb 01, 2019  |  By SabahKini2
Buat masa sekarang UMNO Sabah fokus kepada mengukuhkan parti- Bung Moktar

Datuk Bung Moktar Radin berkata buat masa ini Umno Sabah berdiri sendiri tanpa gandingan dengan mana-mana parti pembangkang lain. Fokus utama ialah mengukuhkan parti

KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata buat masa ini Umno Sabah berdiri sendiri tanpa gandingan dengan mana-mana parti pembangkang lain meskipun keadaan agak berlainan di Semenanjung apabila Umno di sana mempunyai pakatan dengan Pas.

“Kalau Umno di Semenanjung ada pakatan dengan Pas, kita tidak ada pakatan dengan parti pembangkang lain, begitu juga dengan gabungan sebelum ini.

“Kita sekarang bersendirian. Fokus kita adalah untuk mengukuhkan parti kerana jika parti kuat ramai orang akan datang kepada kita,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di Bangunan Umno Sabah baru-baru ini.

Hadir sama ialah Tmbalannya, Datuk Yakub Khan; Setiausaha, Jeffrey Ariffin dan Bendahari, Suhaimi Nasir.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata beliau berpuas hati dengan pertemuan pertamanya dengan ketiga-tiga sayap Umno itu sejak dilantik sebagai pengerusi, dan mahu mereka meneruskan tugas memperkuatkan parti.

Katanya dalam perjumpaan itu juga beliau telah memberikan maklumat tentang isu-isu semasa, autonomi dan perkembangan yang berlaku.

Bung Moktar menjelaskan pada dasarnya Umno Pusat telah bersetuju memberikan kuasa autonomi kepada Sabah.

“Mereka telah bersetuju 100 peratus dan ia akan dilaksanakan tidak lama lagi. Justeru kita yakin Umno masih relevan dan diterima rakyat di Sabah. Dengan kuasa penuh ini kita yakin tidak ada lagi isu Umno ini parti Malaya semata-mata.

“Umno kini dipimpin oleh orang Sabah dan keputusan dibuat oleh Umno Sabah sepenuhnya termasuk calon, kerusi pilihan raya, keahlian dan sebagainya,” katanya sambil menambah Konvensyen Umno Sabah akan diadakan pada Ogos atau September depan.

Dalam perkembangan berkaitan mengenai dakwaan bahawa kira-kira 5,000 Umno Kinabatangan keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sandakan adalah tidak benar sama sekali.

“Yang keluar saya ingat 10 peratus, tidak sampai 200 ratus orang yang keluar parti. Saya pun tidak tahu di mana mereka dapat angka itu (5,000),” jelasnya.

Sebelum ini Ketua Penerangan Umno Kinabatangan Titing Putang mendakwa lebih kurang 200 orang sahaja yang hadir dalam majlis penyerahan borang keahlian kepada setiausaha agung Warisan Loretto Padua Sipin Jr di Sandakan.

“Saya membidas kenyataan  mantan Ketua Cawangan Api Api Basri Osman dan Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah yang agak keterlaluan dengan menyatakan bahawa lebih kurang 5,000 ahli Umno bahagian Kinabatangan keluar parti,” kata Titing.

Titing yang juga Pegawai Perhubungan kepada Ketua Umno Sabah menegaskan Umno Kinabatangan masih kukuh dan relevan.

“Lebih-lebih lagi Umno Sabah kini diterajui oleh  pengerusi perhubungan baharu iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Ahli Parlimen Kinabatangan dan juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan,” katanya.

 

3 Comments