Menteri Warisan mahu iktiraf Bugis, Jawa Anak Negeri tapi SUA Warisan dan TKM Sabah bantah!
14:02 Feb 02, 2019  |  By SabahKini2
Menteri Warisan mahu iktiraf Bugis, Jawa Anak Negeri tapi SUA Warisan dan TKM Sabah bantah!

Sama ada Datuk Aidi Moktar tersalah cakap atau memang sengaja mahu membuat keputusan berhubung Bugis dan Jawa sebagai anak negeri akhirnya ia mendapat bantahan netizen serta SUA Warisan dan Madius Tangau!

TAWAU- Kerajaan Sabah akan meneliti semula tafsiran dalam Ordinan Interpretasi Anak Negeri berhubung suku kaum Bugis serta Jawa yang tidak termasuk sebagai Anak Negeri, kata Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar.

Beliau berkata tiba masanya di bawah era kerajaan baharu, perkara itu diambil perhatian serta melihat semula tafsiran dalam ordinan agar suku Bugis dan Jawa yang sekian lama menetap di Sabah juga diiktiraf sebagai Anak Negeri.

"Kerajaan negeri diketuai Parti Warisan Sabah akan ambil berat dan perhatian perkara ini kerana kami tahu adalah tidak adil bagi mereka (Bugis dan Jawa) ini yang sudah hidup lama dan datang ke sini sebelum merdeka (tetapi tidak diiktiraf sebagai anak negeri)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan surat lantikan kepada ketua adat bagi tahun 2019 di sini, hari ini.

Majlis hari ini, melihat penyerahan surat pelantikan kepada seorang Ketua Daerah, lima ketua anak negeri, 15 wakil ketua anak negeri, 40 ketua kampung serta 20 ketua masyarakat cina di Tawau.

Sementara itu, Aidi berkata sekiranya terdapat cadangan lantikan ketua adat dari suku kaum Bugis dan Jawa perkara itu boleh diselesaikan dengan memohon untuk menjadi sebahagian daripada Anak Negeri.

"Kita selesaikan (permohonan) dulu di peringkat Mahkamah Anak Negeri (MAN).

"Apabila mereka ini diberikan taraf Anak Negeri MAN sudah tidak ada halangan bagi pelantikan mereka yang ketika ini terpaksa ditangguhkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil mahu ketua adat yang dilantik berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.


Bantahan Setiausaha Agung Warisan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah

Sementara itu selepas saranan Datuk Aidi Moktar itu tular Parti Warisan Sabah menegaskan bahawa kenyataan Datuk Aidi Moktar untuk mengiktirafkan suku kaum Bugis dan Jawa sebagai Anak Negeri adalah pandangan peribadi beliau dan tiada kaitan dengan pendirian parti itu.

Setiausaha-Agung parti, Loretto Padua berkata Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkenaan menyatakan pandangannya tanpa memaklumkan pucuk pimpinan parti terlebih dahulu.

“Beliau bebas untuk menyatakan pandangan peribadi beliau, namun apa yang umum kena tahu, perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat parti,” kata Loretto dalam satu kenyataan di sini.

Turut membantah ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata kaum Bugis dan Jawa bukan orang asal Sabah mahupun North Borneo dan dengan itu mereka tidak boleh diiktirafkan sebagai anak negeri Sabah.

“Mereka sebagai Bumiputera mengikut Perlembagaan Persekutuan tetapi mereka bukan anak negeri Sabah,” katanya dalam akaun Facebook beliau.

 

11 Comments