Tidak kembali kepada UMNO, Warisan bukan pilihan dan yakin PPBM masuk Sabah
14:02 Feb 06, 2019  |  By SabahKini2
Tidak kembali kepada UMNO, Warisan bukan pilihan dan yakin PPBM masuk Sabah

Saya boleh beritahu anda PPBM akan datang ke Sabah,Kami mahu cari platform baru dan tidak mahu kembali ke Umno. Warisan tiada dalam pertimbangan pilihan- Hajiji

KOTA KINABALU: Bekas Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor yakin PPBM akhirnya akan bertapak di Sabah walaupun parti itu memberi jaminan ia akan menghormati perjanjiannya dengan Warisan.

Bercakap kepada pemberita di satu majlis rumah terbuka anjuran Parti Bersatu Sabah hari ini, Hajiji berkata dia sedang berhubung dengan ketua-ketua PPBM berhubung perkara itu.

“Saya boleh beritahu anda PPBM akan datang ke Sabah.

“Saya yakin tidak lama lagi,” kata Adun Sulaman itu, yang mengetuai penghijrahan keluar pemimpin-pemimpin Umno Sabah pada Disember.

Bagaimanapun, dia berkata bekas-bekas ahli Umno belum membuat keputusan mengenai parti yang akan disertai, mengatakan mereka mahu mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk memikirkannya.

Bulan lepas, Ketua Strategi PPBM, Datuk Rais Hussin berkata parti itu masih sedang berbincang dengan Warisan tentang kemasukannya ke Sabah tetapi belum ada sebarang keputusan.

Beliau berkata PPBM akan menghormati persetujuan mereka, dan penubuhan PPBM, sekiranya berlaku, dilakukan dengan rundingan bersama sekutunya di Sabah.

Sementara itu, Hajiji menepis dakwaan bekas-bekas ahli Umno akan kembali ke parti itu.

Beliau berkata bekas ahli Umno Sabah, termasuk Adun dan Ahli Parlimen, hanya berminat mencari parti baru.

“Kami mahu cari platform baru dan tidak mahu kembali ke Umno,” katanya, dan berkata Warisan tiada dalam pertimbangan mereka.

“Bekas wakil-wakil rakyat Umno itu akan bekerjasama dengan rakan-rakan dari PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah menerusi Gabungan Bersatu Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa beberapa bekas pemimpinnya menyuarakan hasrat untuk kembali ke parti itu.

Bung Moktar berkata mereka berhasrat untuk menyertai PPBM tetapi tergantung kerana parti itu belum membuka cawangan di Sabah.

 

14 Comments