47 tahanan di Kemboja : Kerana miskin, sindiket atau judi haram?
05:02 Feb 13, 2019  |  By SabahKini2
47 tahanan di Kemboja : Kerana miskin, sindiket atau judi haram?

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kemboja bagi membantu 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara di Poi Pet, kira-kira 446km dari utara Phnom Penh.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan hari ini bertujuan memohon bantuan penyelesaian terhadap nasib yang menimpa semua tahanan tersebut.

Menerusi perbincangan itu, beliau berkata Othsman bersetuju untuk membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Hun Sen dalam masa terdekat selain membolehkan Mustapha melawat mereka yang ditahan.

“Mereka yang ditahan ini mungkin dijanjikan pendapatan yang lumayan, tambahan pula Kemboja menggunakan dollar Amerika.

“Mereka dijanjikan pekerjaan yang baik tetapi apabila sampai ke Kemboja, secara berperingkat mereka dipaksa kerja di kasino dan tempat judi haram,” menurut Mustapha dalam kenyataan semalam.

Menurut Mustapha, beliau memaklumkan kepada Othsman bahawa kebanyakan mereka yang ditahan adalah daripada keluarga miskin, dan mereka ditipu oleh sindiket tertentu.

Khamis lepas, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet, sejak 11 Dis tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.- FMT

Comment