DAP kata sampah, PKR kecewa, Tun M kata sedia tukar parti
10:02 Feb 13, 2019  |  By SabahKini2
DAP kata sampah, PKR kecewa, Tun M kata sedia tukar parti

Dr Mahathir Mohamad yang dikecam keras oleh PKR dan DAP berkata bersedia bertukar haluan sekali lagi jika haluan Amanah dan DAP terpesong dari kepentingan negara.

Tindakan Pengerusi Dr Mahathir Mohamad menerima penyertaan tujuh bekas ahli parlimen (MP) Umno ke dalam Bersatu disifatkan mengecewakan.

Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu mengingatkan Mahathir pernah berjanji tidak akan menerima anggota parlimen Umno, sebelum pilihan raya umum lalu.

“Saya tahu kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri. Dan saya percaya kepadanya.

“Ia benar-benar tindakan mengecewakan yang dilakukan oleh Dr M, menerima sampah seperti ini.

“Jadi apa yang berlaku jika lebih banyak katak daripada Umno meninggalkan kapal dan meminta untuk menyertai Bersatu.

“Adakah Bersatu akan membawa mereka secara beramai-ramai seperti ini? Adakah kita menyaksikan pengambilalihan Bersatu oleh bekas orang Umno,” kata Ronnie di Facebooknya, hari ini.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang turut melahirkan rasa kecewa terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana menerima penyertaan bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.

Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim menyifatkan keputusan Mahathir itu sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat.

Menurutnya, beliau kecewa kerana Mahathir tidak berpegang pada janjinya sebelum ini untuk tidak menerima ahli UMNO yang meninggalkan parti itu ke dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH).

"Pada Mei 2018, Mahathir dengan jelas menegaskan bahawa PH tidak akan menerima bekas ahli UMNO ke dalam PH.

“Namun amat mengecewakan apabila tidak sampai setahun, Mahathir tidak berpegang pada janjinya," katanya dalam kenyataan.

Bertukar parti

Sementara itu Dr Mahathir Mohamad yang dikecam keras oleh PKR dan DAP berkata bersedia bertukar haluan sekali lagi jika haluan Amanah dan DAP terpesong dari kepentingan negara.

“Kita boleh berubah (mobile) dan bukannya tetap,” kata pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan itu sambil mempertahankan kemasukan tujuh ahli Parlimen bekas Umno ke dalam partinya.

“Kalau parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) ini membelot dan tidak setia kepada negara, saya akan tukar kepada parti lain.

“Kadang-kadang kita terpaksa tukar pendirian kita mengikut apa yang berlaku di sekeliling kita.

“Kita tidak boleh terikat pada pemimpin atau parti tertentu sedangkan mereka mencuri,” katanya.

Tujuh ahli Parlimen bekas Umno yang sepatutnya diterima Bersatu 6 bulan selepas keluar UMNO kini diterima lebih awal dalam parti itu.

Mereka termasuk bekas menteri dalam Kabinet Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu Hamzah Zainuddin (Larut) dan bekas timbalan menteri Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Lima yang lain ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah).

 



 

4 Comments