Isu Geran Komunal Kg Iburu Sipitang: Ada pihak terima rasuah kami akan dedah - penduduk
14:11 Nov 17, 2017  |  By SabahKini2
Isu Geran Komunal Kg Iburu Sipitang: Ada pihak terima rasuah kami akan dedah - penduduk

“Sepatutnya hasil geran komunal adalah milik semua penduduk kampung namun terdapat beberapa individu bersekongkol dengan syarikat dengan mengambil rasuah membenarkan syarikat di tanah geran komunal, ada yang dibelikan kereta dan kami ada bukti rakaman

SIPITANG (Sabahkini2); Nampaknya usaha Kerajaan Negeri Sabah pada 8 Mac 2016 mengumumkan sejumlah 2,800 ekar (kira-kira 1,120 hektar) tanah diberikan Geran Komunal kepada 191 ketua isi rumah di Kampung Iburu di Sipitang bakal menghadapi masalah baru akibat sikap segelintir yang diberi tanah termasuk menggadai, menyewa, menjual atau menyalahguna tanah malah mencuri balak di kawasan tanah tanpa kelulusan kerajaan.

Sebelum ini Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata Geran Komunal itu diberikan kepada penduduk di kawasan itu yang tidak memiliki tanah.

“Kita (kerajaan negeri) memberi keutamaan kepada rakyat yang tidak memiliki tanah kerana kita mahu mereka mempunyai tanah untuk diusahakan.

“Oleh itu saya mengingatkan rakyat yang menerima geran itu supaya tidak menjual tanah itu sebaliknya diwariskan kepada anak-anak,” katanya pada majlis penyerahan Geran Komunal itu tahun lalu.

Ketika itu Ketua Menteri berkata penyerahan Geran Komunal itu antara pendekatan kerajaan dalam membantu rakyat khususnya di luar bandar untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi taraf hidup masing-masing.

Namun semalam (14 November) dilaporkan berlaku pertelagahan dan perundingan antara penduduk Kg Iburu dengan wakil-wakil Lembaga Kemajuan Penduduk Negeri Sabah (SLDB) dan syarikat Lingkabau Sdn Bhd.

Seorang pengguna facebook bernama Galus Ahtoi melaporkan ia sebagai satu bencana Geran Komunal rancangan kerajaan akibat cara pemberian tidak telus. Berlaku 4 penangkapan oleh polis terhadap Ketua Kampung dan 3 orang anaknya untuk membantu siasatan kes.

Beliau turut melampirkan geran tanah 1,133.2 hektar dan gambar-gambar kekecohan itu berlaku.

 

Bagaimanapun  seorang pengguna facebook Palipus Ansuai penduduk tempatan di kawasan itu menafikan isu pemberian komunal tidak telus sebaliknya kes lain iaitu terdapat individu kecewa akibat syarikat pembalakan mereka tidak diluluskan oleh kerajaan di dalam kawasan geran komunal. Malah jentera balak mereka sudah masuk ke kawasan tanah walaupun tidak diluluskan kerajaan.

“Sepatutnya hasil geran komunal adalah milik semua penduduk kampung namun terdapat beberapa individu bersekongkol dengan  syarikat dengan mengambil rasuah membenarkan syarikat di tanah geran komunal, ada yang dibelikan kereta dan kami mempunyai bukti rakaman video penerimaan rasuah dari syarikat memasuki geran komunal”.

“jadi penyebaran berita palsu berhubung geran komunal oleh pihak tertentu tanpa memeriksa berita sahih punca kekecohan adalah sesuatu yang tidak beretika. Jangan terpengaruh dengan agenda peribadi untuk keuntungan diri, bukan bersama”. Katanya menjawab tularnya isu kekecohan geran komunal di Kg Iburu.

Palipus Ansuai akan mendedahkan rakaman video bukti rasuah syarikat dan ipenduduk kampung terlibat jika terpaksa.

Seorang lagi penduduk kampung Jestom TJ menegur sikap masyarakat yang menyebar berita tanpa usul periksa.

“Saya berharap saudara Galus Ahtoi jangan mudah menularkan berita tak sahih di laman media sosial facebook. Kamu belum tahu siapa yang benar dan salah”. Katanya

Pihak Sabahkini akan mendapatkan pengesahan daripada pihak Lembaga Kemajuan Penduduk Negeri Sabah, PDRM serta Wakil rakyat Parlimen serta adun di kawasan itu nanti.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat kes ini kerana melibatkan unsur rasuah dari pihak tertentu.

 

Comment