Situasi itu ternyata mengundang kehairanan Christina yang mengenang janji Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan jaminan tidak akan memasuki Sabah untuk meluaskan empayar parti itu.

“Saya terkejut dengan tindakan ini kerana PPBM sudah bersetuju untuk tidak memasuki negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Pilihan Raya dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan parti komponen lain iaitu PKR serta DAP.

“Pembangunan di Sabah juga berada di landasan yang betul di bawah kerajaan yang dipimpin parti Warisan, malah, ramai rakyat negeri ini gembira dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” katanya seperti dipetik dalam portal The Star Online hari ini.

Keputusan melengkapkan tiga lagi parti Pakatan Harapan (PH) sedia ada di negeri itu dicapai selepas Dr. Mahathir membuat pengumuman berkenaan keputusan itu bagi mengambil kira keperluan rakyat Sabah yang ingin menyertai Bersatu selain Warisan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Bersatu mencapai persefahaman dengan Warisan bahawa parti itu tidak akan memasuki Sabah, sebaliknya Warisan menjadi rakan PH bagi mendapat sokongan rakyat Sabah.

Sebelum ini, Mohd. Shafie beberapa kali berharap Bersatu tidak akan memasuki negeri itu susulan ura-ura ia akan melebarkan sayapnya ke negeri ini dan bakal disertai beberapa bekas wakil rakyat UMNO. -UM