1 Mac pengurusan kes petisyen pilihan raya Parlimen Kimanis, Sipitang
15:02 Feb 20, 2019  |  By SabahKini2
1 Mac pengurusan kes petisyen pilihan raya Parlimen Kimanis, Sipitang

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Cindy Mc Juce Balitus menetapkan tarikh itu bagi Parlimen Kimanis yang akan didengar di hadapan Hakim Datuk Lee Heng Cheong di Mahkamah Tinggi di sini.

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Mac bagi pengurusan kes petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kimanis dan Sipitang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Cindy Mc Juce Balitus menetapkan tarikh itu bagi Parlimen Kimanis yang akan didengar di hadapan Hakim Datuk Lee Heng Cheong di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pendengaran pengurusan kes dalam kamar itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diwakili peguam Faizal Sarbi dan Abdul Fikri Jaafar.

Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi Parlimen Kimanis, Datuk Karim Bujang diwakili Syaiful Sufeyyan Sidin dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman diwakili Wilson Chang Khai Sim serta Rizwandean M Borhan.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memerintahkan perbicaraan petisyen pilihan raya diadakan bagi kerusi Parlimen Kimanis dan Sipitang yang dimenangi calon BN pada PRU-14.

Panel lima hakim diketuai, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah, berkata merit pilihan raya Kimanis perlu didengar memandangkan calon WARISAN di Parlimen Kimanis, mematuhi peraturan petisyen pilihan raya.

Sementara di mahkamah berasingan, Pesuruhjaya Kehakiman, Ismail Ibrahim, menetapkan 1 Mac ini bagi sebutan kes petisyen pilihan raya Parlimen Sipitang yang akan didengar di hadapan Hakim Azhahari Kamal Ramli di Mahkamah Tinggi.

SPR diwakili Faizal manakala Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, diwakili Rizwandean dan Azhar Farhan Arisin manakala peguam mewakili calon WARISAN, Noor Hayaty Mustapha, tidak hadir.

Pada PRU-14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi, iaitu 11,942 undi berbanding 11,786 undi diraih Karim.

Bagi Parlimen Sipitang, Yamani yang juga anak bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman menang kerusi itu dengan 852 undi majoriti, sekali gus menewaskan Noor Hayaty. – Berita Harian

Comment