Bajet Sabah 2018: BN Lebih dulu utamakan anak muda
23:11 Nov 18, 2017  |  By SabahKini2
Bajet Sabah 2018: BN Lebih dulu utamakan anak muda

RM5 juta peruntukan tambahan (tambahan kepada RM40.5 juta peruntukan yang disalurkan melalui biasiswa dan dermasiswa)

Bajet Sabah yang dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri Sabah Jumaat lalu secara langsungnya dilihat sebagai suatu pengiktirafan yang tinggi kepada generasi muda, khasnya di negeri ini.

Tindakan kerajaan negeri Sabah yang mengambil kira pendapat serta cadangan yang diutarakan oleh anak-anak muda melalui beberapa siri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dianjurkan di seluruh negeri itu telah membuktikan bahawa kerajaan komited untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi rakyat.



Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah, Yamani Hafez Musa dipetik sebagai berkata, "Pemuda BN Sabah mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Musa Aman kerana mengambil kira pandangan generasi muda dan menjadikannya agenda kerajaan menerusi Bajet Sabah 2018.

Antara perkara yang dimaksudkan ialah pengenalan Skim Jaya Perantis Anak Sabah (SYABAS) yang memberi peluang latihan bekerja dalam industri bukan sahaja kepada graduan di peringkat universiti, malah lulusan diploma dan juga sijil.

“SYABAS yang akan dilaksanakan melalui Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) mampu menyelesaikan isu tiada pengalaman kerja dalam kalangan graduan ketika mencari pekerjaaan buat kali pertama,” katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, aspek pekerjaan merupakan antara isu yang paling banyak disuarakan menerusi siri TN50 di negeri ini.

Menurut beliau juga, satu lagi isu yang mendapat perhatian adalah yang berkaitan dengan keperluan pementoran (coaching) dalam pengembangan usahawan muda. Isu ini turut diberikan respon baik oleh kerajaan negeri dengan pengenalan Skim Pementoran Kerjaya dan Keusahawanan (SKOR) menerusi Bajet kali ini.

"Langkah ini penting agar belia yang berminat dalam bidang perniagaan dapat dibimbing melalui kaedah pementoran dan diberikan akses kepada pelbagai bantuan latihan, geran dan pinjaman sedia ada yang disediakan, sama ada oleh kerajaan negeri atau persekutuan.”

Selain daripada meneruskan pemberian dana bagi Skim Usahawan Muda (YES) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri juga memutuskan untuk terus menyediakan bantuan pinjaman mikro kredit melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) seperti sebelum ini, bagi membantu rakyat menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta peruntukan tambahan (tambahan kepada RM40.5 juta peruntukan yang disalurkan melalui biasiswa dan dermasiswa)
sebagai bantuan khas kepada anak Sabah kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Sekaligus menunjukkan betapa generasi muda juga diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan.

“Sesungguhnya Bajet Sabah 2018 amat mesra rakyat merentasi semua segmen masyarakat, termasuk generasi muda" kata Yamani mengakhiri kenyataannya.

Comment