Ketua kerani CKS Supermarket Sepanggar pecah amanah RM688,868.85
16:03 Mar 01, 2019  |  By SabahKini2
Ketua kerani CKS Supermarket Sepanggar pecah amanah RM688,868.85

Gambar- NSTP

Nur Assmi Kasir, 23, didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 Nov hingga 4 Dis 2018 ketika bekerja di CKS Supermarket Sepanggar.

KOTA KINABALU- Seorang ketua kerani sebuah syarikat perniagaan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pecah amanah melibatkan RM688,868.85 tahun lepas.

Nur Assmi Kasir, 23, didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 Nov hingga 4 Dis 2018 ketika bekerja di CKS Supermarket Sepanggar.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh diamanahkan mengutip wang jualan milik syarikat, namun melakukan pecah amanah iaitu menjadikan wang kutipan jualan itu untuk kegunaan sendiri.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tempatan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis Inanam setiap minggu dan menetapkan 10-12 Jun depan untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz, manakala tertuduh diwakili peguam Farazwin Haxdy.

-- BERNAMA

Comment