llham Centre kata BN menang, Azmin sanggah walau 10 tahun gagal bantu Semenyih
03:03 Mar 02, 2019  |  By SabahKini2
llham Centre kata BN menang, Azmin sanggah walau 10 tahun gagal bantu Semenyih

PH formula ajaib untuk menang. BN peluang cerah kata Ilham Centre.Azmin pula sanggah kerana katanya 10 tahun memerintah Selangor. Namun rakyat kata apa PH buat di Semenyih dua penggal?

Barisan Nasional boleh mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih hari initerutamanya atas sentimen dan faktor pengundi Melayu, kata badan penyelidik bebas Ilham Centre.

Kajian Ilham Centre mendapati PH bergelut untuk mempertahankan undi pengundi Melayu seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), selain beberapa faktor lain yang juga tidak memihak padanya, kata Pengarah Eksekutifnya Azlan Zainal.

“PH sekarang ini memerlukan formula ajaib iaitu peratus keluar mengundi dan aras sokongan pengundi kekal sebagaimana PRU14 yang lalu. 

“Sekiranya perkara ini tidak berlaku, BN mampu menang tipis di Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan 

Kawasan DUN Semenyih mempunyai 68% pengundi Melayu, yang juga membentuk majoriti pengundi di 17 daripada keseluruhan 21 pusat daerah mengundinya.

Kajian Ilham Centre ini dibuat secara tatap muka antara 26 hingga 28 Februari lalu, melibatkan 378 responden meliputi segenap lapisan latar belakang pengundi dari segi kaum, jantina dan umur. Badan itu menyifatkan ralat kajiannya ialah 2.15%.

Dalam kajiannya, badan itu menggariskan lima faktor penentu sokongan pengundi daripada strategi kempen parti, pemilihan calon sehinggalah kepada isu-isu yang jadi perhatian pengundi.

Ilham Centre merumuskan kempen PH tidak disokong oleh jentera yang berkesan manakala calon pilihan parti itu juga dilihat tidak berwibawa.

Calon PH Muhamad Aiman Zainali, 30, dari Bersatu tidak mempunyai aura yang cukup untuk diangkat sebagai calon parti kerajaan di Semenyih, kata Ilham Centre.

“Segala usaha yang dilakukan oleh Aiman Zainali ini kelihatan tidak serba tidak menjadi dan menyebabkan peralihan perhatian menyebelahi calon BN Zakaria Hanafi. 

“Kematangan calon menjadi kayu ukur penilaian pengundi,” kata Azlan.

Zakaria, 58, adalah pemimpin akar umbi Umno yang dianggap berpengaruh dalam beberapa kelompok masyarakat setempat.

Pengundi Melayu beralih arah

Sebagai oposisi, katanya, titik serangan BN tertumpu kepada membangkitkan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji manifesto mereka. 

"Elemen perkauman dan agama melengkapkan ramuan untuk memulihkan sokongan pengundi Melayu yang beralih arah pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Sementara itu pengundi pula lebih tertarik kepada isu melibatkan perkembangan dalam negara dan kerajaan sebanyak 73.3 peratus berbanding 26.7 peratus melibatkan isu-isu tempatan.

"Selain itu, 74.6 peratus responden bersetuju bahawa kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto dan 58.7 peratus bersetuju bahawa kerajaan PH gagal membela Melayu-Muslim sejak mengambil alih kerajaan persekutuan," katanya.

84 peratus pengundi PAS undi BN

Selain itu, kempen “Bossku” juga berjaya meraih perhatian masyarakat setempat apabila 56.6 peratus bersetuju bahawa kempen Najib Razak di Semenyih memberi kesan positif kepada BN.

"Gerakan bersendiri Najib Razak di dalam kempen di Semenyih menjadi nilai tambah dan pelengkap kepada BN secara tidak langsung malah boleh dikatakan kempen ini cukup signifikan untuk membantu BN di sini," kata Azlan.

Sementara itu rata-rata ahli dan penyokong PAS yang ditemui bersedia untuk memberi undi kepada BN meskipun parti Islam itu dilihat tidak agresif menyerang PH dan presidennya, Abdul Hadi Awang tidak turun membantu kempen BN.

"Isu sentimen Melayu-Muslim menjadi pendorong utama mereka dalam melakukan perubahan undi selain arahan daripada pimpinan PAS walaupun pada mulanya signal yang berbeza daripada pimpinan tertinggi PAS.

"Meskipun demikian, menerusi kajian lapangan yang kami lakukan, terdapat kira-kira 84 peratus pengundi PAS dalam PRU-14 bersedia untuk mengundi BN dalam pilihan raya kecil kali ini," ujarnya.

Serangan Anwar Ibrahim berterusan kepada Hadi Awang mungkin akan memberi kesan kepada penyokong PAS dan atas pagar untuk berubah dan menyokong BN.

Azmin sanggah Ilham Centre 

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata beliau tidak bersetuju dengan kaji selidik dijalankan Ilham Centre yang mendakwa BN mungkin menang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

"Saya tidak bersetuju, saya yakin dan optimis dengan prestasi Harapan di Selangor dan kami akan terus mengekalkan Semenyih.

"Tinjauan yang dijalankan oleh kumpulan berlainan (tetapi) pada akhirnya rakyat akan memutuskan berdasarkan prestasi kerajaan dan parti politik," katanya kepada media ketika kempen di Sungai Jai di Semenyih 

Azmin berkata PH tidak memerlukan formula ajaib kerana telah bekerja keras dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini di Selangor.

1 Comment