Skandal 1Bestarinet: YTL untung ratusan juta bil bulanan tak masuk akal, kerajaan rugi, rakyat derita
04:03 Mar 15, 2019  |  By SabahKini2
Skandal 1Bestarinet: YTL untung ratusan juta bil bulanan tak masuk akal, kerajaan rugi, rakyat derita

8 tahun kerajaan terus rugi. YTL untung ratusan juta menjana pulangan 21,350%. Bil internet 30Mbps dibayar RM19,000 sebulan. Tak masuk akal.Mengapa kerajaan tak tamatkan YTL?

Kroni siapa projek Bestarinet ni? Belum reda kesan trauma oleh skandal-skandal mega seperti 1MDB, ECRL dan HSR, kini timbul pula isu ketirisan besar-besaran peruntukan pendidikan melalui projek 1Bestarinet.

Kerugian besar dalam perbelanjaan yang tidak berpatutan untuk projek substandard rakyat ini bukan hanya menyebabkan kesusahan di pihak kerajaan sejak 8 tahun yang lalu, tetapi juga secara tak langsungnya telah menghapuskan sama sekali industri-industri kecil dan sederhana tempatan dalam bidang pendidikan Malaysia, sekaligus melenyapkan ribuan peluang pekerjaan. Sehingga hari ini, YTL masih terus kekal memonopoli perbekalan rangkaian internet berkelajuan rendah (30Mbps) ini kepada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Fasa pertama pun sudah bermasalah namun demi YTL diteruskan jua walau terpaksa membayar ratusan juta atau bilion
Sumber Infografik- Media Sosial

1Bestarinet berjaya melepasi tapisan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) pada Mac 2015 dan kekal menjadi pembekal rangkaian internet dengan harga yang terlalu tinggi kepada Kementerian Pelajaran, walaupun perkhidmatan perisian e-Pembelajaran tersebut sudah agak ketinggalan zaman.

Baru-baru ini, seorang kakitangan Kementerian telah tampil untuk mendedahkan skandal 1Bestarinet yang mengakibatkan suatu implikasi kewangan yang buruk dan berterusan untuk sekian lama.

Sejak dilantik 2011 siapa boleh menghentikan YTL untuk fasa yang seterusnya? menamatkan mereka bermakna kerajaan perlu
membayar pampasan besar. Maka sambung dan terus sambung sejajar dengan perjanjian untuk projek 15 tahun.

Pelaksanaan fasa 1 yang teruk sebenarnya sudah boleh ditamatkan. Bagaimanapun kerana YTL mempunyai 'kabel'yang besar KPM tidak dapat menyingkirkan mereka malah memberi lagi sambungan projek ke fasa seterusnya. Fasa seterusnya YTL lebih bijak dengan memastikan tiada perlanggaran kontrak dalam 1Bestarinet.

Walau bagaimanapun, sekiranya analisis ke atas kos dilakukan dengan betul, hakikatnya benar-benar mengejutkan! Harga yang dikenakan adalah terlalu tinggi serta tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberi. Ia semakin menjadi jelas selepas inventori produk akhir diaudit.

Adalah sangat tidak logik jika difikirkan bagaimana persetujuan boleh dicapai dengan harga yang setinggi itu.

Menurut sumber itu lagi, fasa kedua kontrak itu yang meliputi tempoh antara Jun 2016 hingga Jun 2019, bersetuju untuk membekalkan perkhidmatan Internet untuk pengguna akhir pada kadar caj sebanyak RM130 sebulan bagi setiap Mbps kepada makmal komputer di sekolah-sekolah. Ini bermakna bahawa pada 6Mbps, setiap sekolah akan dicaj RM782 sebulan, untuk 10Mbps pula setiap sekolah dikenakan caj RM1,304 dan untuk 15Mbps sebanyak RM1,955.

 

Penetapan harga yang terlalu tinggi ini membolehkan YTL mengaut keuntungan mudah sebanyak RM300 juta setahun, hanya dengan membekalkan perkhidmatan talian internet pada tahap sekadarnya kepada makmal komputer sekolah-sekolah di seluruh negara.

Tidak cukup dengan harga terlalu tinggi (berbanding kadar caj khidmat jalur lebar biasa), sekolah-sekolah terbabit juga dibekalkan dengan khidmat jalur lebar 30Mbps melalui rangkaian khusus, dengan alasan untuk mengekalkan talian agar sentiasa bersambung, pada kadar caj yang amat mahal iaitu RM19,000 sebulan, semata-mata untuk makmal komputer sekolah sahaja.

Perkhidmatan ini sebenarnya boleh diperoleh dengan kos yang jauh lebih rendah iaitu kira-kira RM89 sebulan daripada pembekal yang biasa, YTL jelasnya telah berjaya meyakinkan kementerian untuk menerima model talian khusus dengan syarat tahap perkhidmatan mestilah sentiasa pada kadar 99%, seperti yang biasa ditawarkan oleh syarikat-syarikat pembekal mega yang lain, untuk kegunaan di makmal komputer sekolah yang tidak pun beroperasi 24 jam.

YTL menjana pulangan 21,350% lebih banyak daripada apa yang sepatutnya diperoleh oleh pemain-pemain industri itu bagi jumlah penggunaan yang sama, dan ini sahaja pun sudah membolehkannya mengutip lebihan caj sehingga RM100 juta.

Kontrak fasa ke-2 yang berjumlah lebih daripada RM1.5 bilion untuk tempoh 3 tahun, sentiasa menjadi rahsia yang tersimpan rapi antara YTL dengan Kementerian, dengan bantuan klausa dalam kontrak yang menyatakan bahawa pendedahan tentangnya akan memberi kesan terhadap rahsia negara. Dengan taktik sebegini, tidak hairanlah kontrak yang meragukan ini sentiasa tersimpan kemas daripada pengetahuan umum sejak sekian lama. Menteri Pendidikan Dr Mazlee sudah tentu tidak akan berani mendedahkannya kerana kes YTL bermula di zaman Tan Sri Muhyiddin lagi. Mereka menggelar projek ini projek 'Anak menantu'.

Walaupun sentiasa dikritik kerana perkhidmatan yang kurang memuaskan dari segi sambungannya, YTL sentiasa mempertahankan 1Bestarinet dengan mengatakan bahawa platform e-Pembelajaran yang disediakan oleh syarikat itu adalah berfaedah kepada guru dan pelajar, dan sekiranya ia dibatalkan, maka seluruh sistem pendidikan akan runtuh bersama.

Untuk platform e-Pembelajaran yang dinamakan Frog Virtual Learning (VLE) ini, Kementerian membayar RM1,668 sebulan untuk setiap sekolah dan institut perguruan, yang berjumlah 10,556 buah semuanya. Daripada jumlah itu, lebih kurang 2,000 buah sekolah adalah sekolah terpencil yang memerlukan satu lagi program tambahan yang dipanggil Frog Aparatus, melibatkan tambahan kos sebanyak RM450 sebulan hanya disebabkan terpaksa menggunakan sistem VSat dan bukannya 'wireless tower' seperti yang lain.

 

Komponen Frog VLE ini sahaja, sudah menyebabkan kerajaan untuk membelanjakan lebih daripada RM650 juta, semata-mata ke atas sesuatu yang jarang sekali digunakan oleh pelajar dan tidak pun diketahui oleh kebanyakan ibu bapa.

Apabila audit dijalankan, terdapat banyak penemuan menakjubkan mengenainya. Di sinilah terbongkarnya angka-angka yang mengejutkan.

Selepas 8 tahun beroperasi, projek Frog VLE yang merupakan portal web dalam talian sepenuh masa yang membekalkan pelajar dengan 828 buku PDF, yang mana 576 daripadanya adalah koleksi percuma buku teks daripada Kementerian Pelajaran dan Projek Awam Percuma Gutenberg. Selebihnya adalah tawaran semasa yang ada di pasaran di mana pelajar perlu pula membayar caj tambahan untuk mendapatkan buku dalam talian.

Ianya bertambah menarik, lebih-lebih lagi apabila Frog VLE secara berterusan mendakwa bahawa mereka memberikan khidmat pendidikan bertaraf dunia berdasarkan pada jumlah video pendidikan yang disediakan. Benar, memang terdapat 6,785 video yang disediakan, namun semuanya adalah daripada koleksi yang memang percuma termasuklah daripada EduNation and Khan Academy.

Hakikat yang sememangnya tidak boleh diterima adalah bahawasanya video-video ini disediakan sebagai halaman khusus dengan pautan dari Google Youtube. Dengan kata lain, bahawa perkhidmatan ini sememangnya boleh didapati dengan percuma oleh sesiapa pun, namun YTL telah berjaya mengenakan caj langganan yang keterlaluan terhadap Kementerian Pendidikan menerusi pakej bermuslihat yang dipanggil Frog VLE.

Frog VLE juga menyediakan alat penulisan yang membolehkan guru untuk memberi galakan kepada pelajar untuk menulis dalam bentuk blog, sebagai memenuhi indeks prestasi utama. Selama 8 tahun berjalan, program ini telah merekodkan lebih daripada 45 ribu buah blog baru yang dicipta. Walau bagaimanapun, apabila dilihat secara terperinci, hanya 1,200 daripadanya yang lengkap, iaitu 2.6% daripada jumlah keseluruhan. Selebihnya yang lain hanyalah halaman-halaman percubaan yang dibuat oleh pelajar sepanjang waktu latihan.

Adakah 1Bestarinet akan menjejaskan sistem pendidikan jika ianya dimansuhkan? Sudah pastinya, tidak. Jumlah caj berlebihan yang dikenakan ke atas program ini adalah terlalu besar dan sepatutnya boleh disalurkan untuk kegunaan yang lebih baik dalam bahagian dan aspek-aspek lain di sekolah yang sebenarnya lebih memerlukan. Ini termasuk sekolah daif di Sabah dan Sarawak yang menelan RM1bilion untuk menyelesaikannya.

Beranikah kerajaan menamatkan kontrak YTL dan 1Bestarinet yang sudah pasti menguntungkan kroni tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat susah di luar bandar? Keuntungan YTL dengan pulangan 21,350% baik untuk rakyat ke?

Rakyat benar-benar berharap bahawa Malaysia Baharu akan bertindak lebih adil dan bahawasanya MyCC, SPRM serta pihak-pihak berwajib yang lain akan meneliti perkara ini secara lebih serius. Ini semua boleh dimulakan dengan meminta salinan kontrak 1Bestarinet daripada pihak Kementerian. Semoga keadilan tertegak untuk Malaysia.


Kegagalan projek pertama terus memaksa YTL membolot untuk fasa seterusnya. Memandangkan YTL telah keluarkan wang maka projek diteruskan. Pihak Sabahkini2 mempunyai salinan lebih 230 muka surat perjanjian yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan.

 

Untuk maklumat lebih lanjut boleh baca dokumen ini.

43 Comments