Siapa ketuai PPBM Sabah? Apakah PPBM akan langgar syarat kemasukan bekas UMNO?
06:03 Mar 19, 2019  |  By SabahKini2
Siapa ketuai PPBM Sabah? Apakah PPBM akan langgar syarat kemasukan bekas UMNO?

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir menegaskan bekas pemimpin UMNO masuk PPBM perlu lulus syarat termasuk tidak ada jawatan sehingga PRU15. Namun apakah ketetapan itu bakal dilanggar khusus untuk PPBM Negeri Sabah?

BARU-BARU ini enam wakil rakyat dan 2 senator yang meninggalkan Umno Disember lalu diterima sebagai kumpulan pertama ahli PPBM Sabah.

Mereka terdiri daripada 4 ahli Parlimen, iaitu Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Ronald Kiandee (Beluran).

 

Baki 4 lagi pemimpin ialah 2 adun, iaitu Hajiji Mohd Noor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan) serta Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas ketua Umno Bahagian Pensiangan) dan John Ambrose (bekas ketua Umno Bahagian Penampang).

Lapan bekas pemimpin Umno itu antara 6 ahli Parlimen, 9 Adun, 2 senator dan 21 ketua Umno bahagian Sabah yang meninggalkan parti itu pada 13 Disember lalu.

Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu akan mempertimbangkan status kemasukan Yamani Hafez Musa yang merupakan ahli Parlimen Sipitang dan anak bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

“Belum lagi, kita akan membuat pertimbangan,” katanya selepas menyerahkan kad keahlian PPBM kepada 8 bekas pemimpin Umno itu di Yayasan Kepimpinan Perdana.

“Kita akan pergi ke Sabah pada 6 April ini. Sebelum kita pergi ke Sabah, sudah ada permohonan menyertai PPBM.”

Misi menambah kerusi PPBM di Parlimen

Dengan perkembangan terbaru ini, PPBM kini memiliki 26 ahli Parlimen dan Pakatan Harapan menguasai 129 kerusi di Dewan Rakyat.

Pada 12 Februari lalu, PPBM menerima 6 bekas ahli Parlimen Umno, iaitu Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen Umno turut diterima menyertai PPBM, iaitu Mustapa Mohamed (Jeli), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

Mahathir mengulangi jaminan Pakatan Harapan tiada niat menggantikan kerajaan Sabah pimpinan Warisan.

“Kita memberi tempat kepada Warisan, walaupun Warisan bukan ahli dalam Pakatan Harapan, kita beri tempat, kita terima anggota Warisan dalam kerajaan.

“Kita tidak ada niat menggantikan kerajaan Warisan di Sabah. Kita tidak ada niat nak ganti mana-mana pihak bila masuk Sabah nanti.”

Syarat ke PPBM dilaporkan media

Syarat pemimpin UMNO masuk ke PPBM dilonggarkan?

Disember tahun lalu Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad meredakan keresahan ahli-ahli Bersatu yang takut 'bekas-bekas' ini akan membawa masuk budaya Umno.

Katanya bekas ahli Umno yang diterima masuk dalam Bersatu hanya akan diberi peluang untuk memegang jawatan sehingga PRU15 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada budaya parti lama.

“Kita Bersatu tidak mudah terima, ada syarat. Mesti keluar dari Umno dan jadi bebas. Sebagai bebas secara ikhlas sokong PH dan Bersatu” kataya

Warganet dan pemimpin PPBM mula mempersoalkan apakah syarat kemasukkan pemimpin UMNO dalam PPBM akan lebih dilonggarkan melihat keadaan PPBM sekarang yang mahu menambah bilangan kerusi di Dewan Rakyat.

“ Jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU15. Lama. Ya lama. Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya Umno, barulah boleh diterima sesuai untuk pegang jawatan,” kata Tun Dr Mahathir ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) disember tahun lalu.

 

Siapa ketuai PPBM Sabah

Apa selepas ini? Jika bekas UMNO tidak mempunyai jawatan sehingga PRU15 apakah akan jadi dengan PPBM Sabah? Jika Hajiji menjadi Pengerusi PPBM April ini apakah syarat kemasukan PPBM telah dilanggar?

Ataupun memang Tun M akan terus melanggar ketetapan yang dibuatnya.

Hari ini begitu banyak desas-desus dari kumpulan penaja yang membawa PPBM sebelum ini.

Apakah Datuk Seri Lajim Ukin Presiden Harapan Rakyat Sabah (Harapan) yang membubarkan partinya akan dilantik Pengerusi PPBM Sabah?  Beliau telah sedia berada dari luar dan lebih awal membawa PPBM ke Sabah. Atau antara Hajiji dan Lajim mengisi sama ada Pengerusi atau Timbalan?

Jika merujuk kepada syarat PPBM nampaknya kemungkinan besar Presiden atau mana-mana Naib Presiden PPBM akan menjalankan tugas pengerusi PPBM di Sabah.

Lajim kemungkinan akan dilantik Senator memandangkan Parti Harapan Rakyat Sabah tidak mempunyai kerusi dun atau parlimen di Sabah dan beliau dijangka memberi laluan kepada Datuk Azizah Mohd Dun serta Datuk Isnin Aliasnih untuk terus kekal di kerusi masing-masing.

Menurut sumber, penyelarasan antara pasukan Datuk Seri Hajiji dan Datuk Seri Lajim telah ditentukan lebih awal dengan masing-masing membawa 50 ribu keahlian dalam PPBM Sabah. Bahagian-bahagian PPBM di Sabah antara pasukan Hajiji dan Lajim juga telah dipersetujui ditentukan.


Antara yang tular dalam media sosial

Hanya pengerusi negeri ditentukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Atau mungkin kumpulan Datu Akjan Datu Ali Muhammad dan Ceaser Mandela Malakun (bekas UPKO) yang juga dikhabarkan mempunyai pasukan masing-masing berpeluang dalam PPBM.

Tidak mustahil Datuk Seri Anifah Aman yang berpeluang berjumpa Tun Dr Mahathir juga boleh jadi sebagai pilihan PPBM. Dalam politik macam-mama boleh berlaku.

Apapun bulan April pasti panas di Sabah. Apakah Shafie Apdal Presiden Warisan akan hadir perasmian PPBM di Sabah itu? sama-sama nantikannya.


by Dr Azrin

 

 

 

 

 

 

7 Comments