UEC: Rais hantar nota bantah kepada peguam negara
12:04 Apr 01, 2019  |  By SabahKini2
UEC: Rais hantar nota bantah kepada peguam negara

Kamu sekarang membuatkan kita ada dua saluran rasmi pendidikan. Dalam pendidikan undang-undang kamu iktiraf UEC, dalam sistem vernakular keputusan belum dibuat,” kata Rais

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Dr Rais Yatim membidas tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Katanya, keputusan itu dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu perbincangan kementerian pendidikan dan merujuk kepada kabinet.

“Dakwaan orang ramai bahawa peguam negara terjebak dalam politik partisan menjadi lebih kuat bila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pengiktirafan ke atas UEC dalam bidang undang-undang.

“Kamu sekarang membuatkan kita ada dua saluran rasmi pendidikan. Dalam pendidikan undang-undang kamu iktiraf UEC, dalam sistem vernakular keputusan belum dibuat,” katanya di laman Facebook hari ini.

Menurut Rais yang juga adalah bekas penasihat sosio budaya kerajaan, adalah lebih baik sekiranya Tommy mengeluarkan kenyataan tentang perkara itu dan tidak membenarkan Teo mengeksploitasi kedudukannya.

“Pada masa ini, tidak terlalu kondusif bagi Peguam Negara untuk terpalit dalam kontroversi seperti ini.

“Saya fikir kamu sepatutnya memberi sedikit masa lagi supaya kerajaan membuat keputusan terbaik dicapai.

“Tunggu dulu kementerian berkenaan untuk menyelesaikan perbincangannya. Kemudian buat keputusan selepas berunding dengan kabinet,” katanya dalam nota bantahan kepada Tommy yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya.

Teo dilaporkan berkata lulusan UEC yang ingin menduduki peperiksaan CLP perlu lulus dengan kepujian dalam lima subjek wajib termasuk bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun beliau berkata, dirinya tidak mengetahui empat lagi subjek yang lain memandangkan ia diputuskan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB).

Jumaat lalu, Tommy yang juga adalah pengerusi LPQB mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM dan A-Levels bagi tujuan menduduki peperiksaan CLP.

Menurut Tommy mulai 1 Jan 2021, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil UEC ialah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada peringkat Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM / 0-Levels / setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.- mkini

Comment