Bersatu bukan mahu jatuhkan Warisan di Sabah kata Tun Dr Mahathir
04:04 Apr 04, 2019  |  By SabahKini2
Bersatu bukan mahu jatuhkan Warisan di Sabah kata Tun Dr Mahathir

Dr Mahathir turut mengakui menjelang majlis pelancaran parti itu di Sabah Sabtu ini, ada cubaan pihak tertentu mengambil kesempatan melaga-lagakan Bersatu dan Warisan.

Dr Mahathir Mohamad berkata Bersatu akan memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Warisan.

Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi Bersatu itu menegaskan kehadiran Bersatu di Sabah bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan merebut mana-mana jawatan.

"Kita ingin jelaskan apabila kita pergi ke Sabah tujuannya ialah untuk mengadakan parti Bersatu di Sabah dan parti Bersatu ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada (di sana), sebaliknya kita akan sokong sepenuhnya kerajaan Warisan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu hari ini.

Dr Mahathir turut mengakui menjelang majlis pelancaran parti itu di Sabah Sabtu ini, ada cubaan pihak tertentu mengambil kesempatan melaga-lagakan Bersatu dan Warisan.

"Ada pihak-pihak yang mungkin tidak setuju dengan parti Warisan yang akan cuba mempengaruhi keadaan parti Bersatu untuk diperalatkan bagi menentang kerajaan Warisan," katanya.

Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata pihak berkenaan tidak akan diambil menjadi anggota Bersatu.

"Mereka itu tak payahlah nak suruh masuk jadi ahli Bersatu kerana parti Bersatu ini berpendirian untuk sokong kerajaan Warisan di Sabah, kita beri pengakuan tentang perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Mei ini bagi membolehkan perlembagaan parti itu dipinda.

Katanya, pindaan itu melibatkan antara lain cara mengurus parti di peringkat cawangan, bahagian dan ibu pejabat.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan sekali lagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan perdana menteri selepas beliau berundur.

Mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa beliau (Dr Mahathir) tidak mahu Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata: "Dia ada hak untuk buat pendapat dia, tetapi saya dah buat kenyataan bahawa apabila saya berhenti, maka Anwar akan ambil alih."

Bernama

9 Comments