MP Sabah, Sarawak mahu RUU pinda Perkara 1(2) ditarik
18:04 Apr 04, 2019  |  By SabahKini2
MP Sabah, Sarawak mahu RUU pinda Perkara 1(2) ditarik

Gimik politik- Hanya meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan "tidak bermakna" dalam memperkasa kedudukan Sabah dan Sarawak.

Langkah kerajaan persekutuan untuk hanya meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan "tidak bermakna" dalam memperkasa kedudukan Sabah dan Sarawak.

Anggota parlimen pembangkang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu SAbah (GBS) dan BN mendesak kerajaan menarik balik rang undang-undang (RUU) itu dan merujuknya kepada jawatankuasa terpilih Parlimen untuk kajian terperinci.

Maximus Ongkili (GBS-Kota Marudu) dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) mewakili gabungan masing-masing membangkitkan perkara itu.

"Apa dalam (pindaan perlembagaan)? Tiada apa-apa," kata Wan Junaidi.

Beliau dan beberapa anggota parlimen pembangkang tidak setuju RUU pindaan itu hanya mencadangkan klausa baru untuk memperincikan semua negeri yang membentuk persekutuan.

Wan Junaidi berkata, anggota parlimen tidak diberi notis 24 jam berkenaan pembentangan RUU itu.

"Dan jawatankuaa pemandu berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 masih bersidang (untuk membincangkan soal mengembalikan status Sabah dan Sarawak), jadi ada baiknyajika lihat apa yang diputuskan dahulu," katanya.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata lebih baik pindaan dibuat dengan cara menyeluruh, berbanding sedikit demi sedikit.

Ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata kerajaan patut membuat langkah pindaan ini sejajar dengan kandungan Perjanjian Malaysia 1963.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan langkah dewan membawa pindaan itu tidak salah kerana anggota parlimen sudah dimaklumkan sehari sebelumnya.

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong kemudian membentangkan RUU itu untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat.

Liew memaklumkan bacaan kedua juga akan dibuat dalam sidang kali ini, yang berakhir 11 April.

Anggota parlimen pembangkang kemudian bangun untuk menunjukkan mereka mahu usul pindaan perlembagaan itu dirujuk ke jawatankuasa terpilih parlimen.

"Jika begitu, anda perlu buat secara bertulis," kata Ariff.

"Usul sudah pun dibuat oleh Santubong (Wan Junaidi)," kata Bung Moktar.- mkini

 

2 Comments