120,000 sertai Bersatu di Sabah bukan ancaman Warisan - Marzuki SUA
00:04 Apr 08, 2019  |  By SabahKini2
120,000 sertai Bersatu di Sabah bukan ancaman Warisan - Marzuki SUA

Kita alu-alukan kemasukan lebih ramai anggota baharu di Sabah sebagai satu perubahan yang ingin dibuat oleh rakyat negeri itu sendiri yang memilih Bersatu sebagai wadah perjuangan

Penyertaan lebih 120,000 orang menjadi anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengancam kedudukan Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya.

Beliau berkata, penubuhan Bersatu di negeri itu sebaliknya disifatkan sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

"Kita tidak melihat sebagai ancaman (kepada Warisan) kerana dalam PH, mana-mana parti yang mengukuhkan partinya (adalah) secara automatiknya memperkuatkan PH sendiri.

"Kita alu-alukan kemasukan lebih ramai anggota baharu di Sabah sebagai satu perubahan yang ingin dibuat oleh rakyat negeri itu sendiri yang memilih Bersatu sebagai wadah perjuangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku kumpulan puisi 'Mahathir, Kami Bersamamu' karya sasterawan dan pejuang bahasa, Dr Lim Swee Tin sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu merasmikan penubuhan parti itu di Sabah yang turut menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pelancaran Bersatu Sabah, Hajiji Noor dinamakan sebagai Penyelaras Bersatu Sabah.

 

6 Comments