Jangan ada anggapan buruk penghijrahan kami ke Parti Bersatu- Nizam
00:04 Apr 13, 2019  |  By SabahKini2
Jangan ada anggapan buruk penghijrahan kami ke Parti Bersatu- Nizam

Nizam bertemu dengan Penolong Pengarah Bahagian Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am bagi mengetahui bantuan yang diberikan kepada mangsa. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Saya merasakan tindakan kami ini adalah tepat kerana penghijrahan saya ke parti Bersatu ini bukan keputusan saya seorang diri tetapi merupakan satu penghijrahan yang dilakukan oleh satu jemaah yang besar diketuai oleh Datuk Hajiji Mohd Noor.

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung penghijrahan beliau dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Beliau berkata, tindakan beliau masuk ke parti itu adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta memantapkan pembangunan Sabah yang masih jauh ketinggalan.

“Saya merasakan tindakan kami ini adalah tepat kerana penghijrahan saya ke parti Bersatu ini bukan keputusan saya seorang diri tetapi merupakan satu penghijrahan yang dilakukan oleh satu jemaah yang besar diketuai oleh Datuk Hajiji Mohd Noor.

“Jadi janganlah ada anggapan atau tuduhan tidak bertanggungjawab bahawa penghijrahan kami ke Parti Bersatu semata-mata untuk kepentingan diri tetapi sebenarnya tindakan yang kami laksanakan adalah untuk kebaikan rakyat dan kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan memberi sumbangan kepada 84 mangsa yang terbabit dalam kebakaran yang mengakibatkan lapan rumah musnah di Tawau Lama, Jalan Masjid At-Taqwa.

Beliau yang juga Ketua Penaja Parti Bersatu Tawau yakin dengan kepimpinan parti Bersatu akan membawa negeri Sabah ke mercu yang lebih cemerlang daripada kepimpinan parti sebelum ini.

“Oleh kerana parti Bersatu ini merupakan satu parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang juga seorang pemimpin yang cukup terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, ini telah membuktikan kepimpinan beliau akan membawa kita ke persada yang cukup cemerlang di mata dunia,” katanya.

Sebelum ini, Nizam merupakan Ketua Umno Bahagian Tawau bagaimanapun mengikut jejak 13 wakil rakyat Sabah termasuk Hajiji mengumumkan keluar parti pada 12 Disember tahun lalu.

Pada 6 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah yang diadakan di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa Penampang.

Dalam majlis itu, Adun Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor dilantik sebagai Penyelaras Bersatu di Sabah dan mendapat penyertaan lebih 120,000 orang anggota.

-SabahNewsToday

3 Comments