JANS potong bekalan air Kuarters Institut Perguruan Sabah tertunggak RM700,000
05:04 Apr 13, 2019  |  By SabahKini2
JANS potong bekalan air Kuarters Institut Perguruan Sabah tertunggak RM700,000

Penghulu KIPS, Herbert Justine mendakwa, tunggakan itu bermula sejak April 2017 selepas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Kinabalu mendapat teguran daripada audit kerana membuat pembayaran pukal untuk bil air di KIPS.

KOTA KINABALU: Bil air tertunggak mencecah sehingga RM700,000 menyebabkan lebih 1,000 penghuni di Kuarters Institut Perguruan Sabah (KIPS), Bukit Padang, di sini, terputus bekalan air sejak 12 hari lalu.

Ia susulan tindakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang didakwa tidak bertolak ansur dengan masalah dihadapi penghuni sehingga bertindak memutuskan bekalan air di kawasan itu.

Penghulu KIPS, Herbert Justine mendakwa, tunggakan itu bermula sejak April 2017 selepas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Kinabalu mendapat teguran daripada audit kerana membuat pembayaran pukal untuk bil air di KIPS.

“Sejak itu pembayaran pukal dihentikan dan penghuni tidak tahu bil air tidak dibayar sehingga September tahun lalu yang mencecah lebih RM500,000.

“Sehingga kini (bil air) sudah menjangkau lebih RM700,000 dan penghuni terpaksa membayar namun tidak mencukupi sebelum bekalan air paip utama dipotong baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di KIPS, semalam.

Herbert mendakwa masalah itu wujud dipercayai disebabkan berlaku kebocoran atau kerosakan pada paip di kawasan berkenaan.

“Kita tidak tahu mungkin ada ketirisan di unit (rumah) yang rosak tidak diselenggara dan perkara ini pernah dikemukakan kepada JANS namun menurut mereka (kerja selenggaraan) bukan di bawah jabatan itu sebaliknya oleh jabatan lain.

“Ia menyukarkan penghuni mengetahui sekiranya berlaku kebocoran sehingga menyebabkan bil air meningkat,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Amego Serasa Tosel, 54, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat penghuni perumahan terbabit dan sedang dibawa ke pengetahuan pihak kementerian berkaitan.

“Sejak masalah ini diketahui, kami bergotong royong mengumpul wang untuk membayar bil air berkenaan namun ia tidak mencukupi kerana kiraan meter yang sangat tinggi menyebabkan tiada lagi alasan daripada JANS membuat penangguhan (potong bekalan air) pada 1 April lalu.

“Kami sudah berusaha berbincang dengan JANS namun aduan kami tidak diendahkan dan terbaharu kami ada memaklumkan perkara ini kepada Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

KIPS mempunyai 17 blok yang didiami kira-kira 200 keluarga dan difahamkan, kuarters berkenaan turut mempunyai meter individu tetapi tidak berfungsi disebabkan perkiraan bacaan penggunaan air hanya dibuat melalui meter utama dan dikira secara pukal setiap bulan.

Sementara itu, rundingan dengan JANS akan dilakukan petang ini bagi menyelesaikan masalah dihadapi lebih 1,000 penghuni KIPS.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony, berkata perkara itu diambil maklum oleh pihaknya dan satu rundingan akan dibuat bagi menyelesaikan masalah itu.

"Saya faham kalau tidak boleh dibayar sekali gus, perkara ini boleh dibawa berunding dengan JANS supaya tunggakan dibayar secara berperingkat.

"Apa pun, kita ambil maklum dan kita akan buat satu rundingan dengan mengarahkan Pengarah JANS berjumpa dengan mereka petang ini bagi menyelesaikan masalah ini," katanya ketika ditemui media selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JANS dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di Wisma Kementerian Pembangunan Infrastruktur di sini, hari ini.

Katanya, isu pemotongan bekalan air membabitkan institusi pendidikan setakat ini hanya berlaku di Kota Kinabalu iaitu di KIPS dan sebuah sekolah di Sandakan.

Pemotongan bekalan air kita lakukan berdasarkan undang-undang dan di peringkat kita kalau pegawai tidak menjalankan tugas, ia akan merosakkan imej kementerian.

"Ia bukan saja berlaku di Kota Kinabalu tetapi ada juga membabitkan sekolah di Sandakan dengan tuntutan lebih RM20,000 tidak dibayar dan sekiranya ia tidak diselesaikan, ia memberi masalah kepada kita.- BH

 

 

2 Comments