Latif Bandi Bekas EXCO Johor, anak lepas dan bebas 37 pertuduhan
10:04 Apr 21, 2019  |  By SabahKini2
Latif Bandi Bekas EXCO Johor, anak lepas dan bebas 37 pertuduhan

Kamarudin dalam penghakimannya pada akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah membuat keputusan berkenaan kerana tidak boleh memutuskan kes hanya berdasarkan keterangan mencurigakan semata-mata.

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, melepas dan membebaskan bekas EXCO Johor, Datuk Abd Latif Bandi, daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta, dua tahun lalu.

Selain itu, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim, 27, dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 46, turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkenaan.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin.

Kamarudin dalam penghakimannya pada akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah membuat keputusan berkenaan kerana tidak boleh memutuskan kes hanya berdasarkan keterangan mencurigakan semata-mata.

“Mahkamah mendapati tiada niat jahat bersama antara ketiga-tiga tertuduh, selain saksi dikemukakan dicurigai kredibiliti dan niat mereka.

“Pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan saksi, iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Negeri lain berhubung pertikaian keputusan meluluskan pertukaran status lot hartanah Bumiputera,” katanya.

Abd Latif dan Ahmad Fauzan Hatim menangis sambil berpelukan sejurus hakim membacakan keputusannya.

Ahli keluarga dan penyokong mereka yang memenuhi galeri awam turut dilihat menangis sebaik mendengar keputusan hakim berkenaan.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing menghadapi empat pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sebelum itu, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pihak pendakwaan mengemukakan 63 saksi dan 1,071 ekshibit kes dalam perbicaraan berlangsung selama 40 hari dengan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Tengku Amir Zaki.

Semua tertuduh pula diwakili barisan peguam, Datuk Hasnal Redzua Merican, Datuk Sallehudin Saidin, Azrul Zulkifli Stork, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Rahim Aidil, Nur Hafidzah Md Yusuff, Siti Sarah Khalil and Hafez Zalkapli.

Comment