Sehingga ke hari ini wanita China itu tidak pernah melaporkan kepada pihak polis. Mereka hanya menuntut RMB 3,000 (RM1,841) pampasan.
KOTA KINABALU- Insiden dive instructor didakwa meraba dua pelancong China ketika menyelam di Semporna baru-baru ini berkemungkinan adalah satu cara penipuan untuk mendapatkan pampasan.
Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Peter Umbuas berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang laporan polis berkenaan insiden itu.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi maka, beliau berharap seseorang akan tampil ke hadapan bagi membuat laporan polis agar siasatan boleh dilakukan.
“Dalam kes sebegini, sudah tentu saksi utama kita adalah mangsa. Tanpa laporan mangsa, kita tidak boleh melakukan siasatan lanjut” katanya.
Pada Sabtu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pihaknya telah mengarahkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan.
”Saya sudah meminta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah untuk menjalankan siasatan kerana mereka tahu siapa pengusaha pelancongan dan pusat selaman yang terlibat.
”Kita berbangga kerana Semporna merupakan syurga untuk aktiviti selaman. Namun, kita tidak mahu insiden ‘kambing hitam’ sebegini mencemarkan imej Sabah. Kita tidak boleh menerima keadaan yang berlaku,” ujarnya.
Pada Sabtu, Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) juga telah membuat laporan polis berhubung kes agar tindakan sewajarnya boleh diambil.
Laporan polis berkenaan juga telah dikemukakan kepada Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Sabah untuk tindakan selanjutnya.
Dalam laporan akhbar China, dua wanita dari Shenzen itu menyertai aktiviti selaman menerusi agensi pelancongan tempatan yang menghantar Dive Instructor lelaki untuk membawa mereka menyelam di Semporna.
Ketika berada di dasar laut, instuctor berkenaan dikatakan menyentuh bahagian sensitif pada tubuh mereka dengan cara tidak sengaja.
Mereka memfailkan aduan kepada agensi pelancongan terlibat dan instructor berkenaan juga terbukti cuba mengambil kesempatan terhadap kedua wanita itu. Agensi itu bersetuju membuat bayaran RMB 3,000 (RM1,841). Namun, bayaran itu tidak pernah diterima oleh pengadu selepas kembali ke China
James Dark tampil ke depan
Sementara itu Dive Master James Jark dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, insiden yang berlaku tidak seperti yang didakwa kedua-dua penyelam dari China itu.
Laporan akhbar China yang tular mengenai insiden itu menyebabkan imejnya sebagai seorang dive master yang profesional tercemar kerana dakwaan yang dilemparkan itu tidak benar.
Katanya, dia sudah memberi kenyataan kepada pihak polis untuk membantu siasatan kerana pengusaha pelancongan yang terlibat telah membuat laporan polis berkenaan kes itu.
“Saya tampil membuat kenyataan ini untuk membersihkan nama saya dan dive master yang bekerja di Semporna,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua penyelam warga China itu datang ke Semporna bagi melakukan aktiviti Discovery Scuba Diving (DSD) dan mereka bukan penyelam yang berpengalaman.
Bagaimanapun ketika berada di dasar laut, peralatan menyelam yang dipakai kedua-dua mereka bermasalah dan memerlukan bantuan seseorang untuk memperbetulkannya.
Katanya, apa yang berlaku di dasar laut ketika itu bukan seperti yang didakwa dua penyelam wanita China berkenaan.
“Pada 31 Mac ketika saya membawa dua penyelam itu melakukan DSD, kedua-dua penyelam itu berdepan masalah dengan BCD yang dipakai ketika menyelam di dasar laut.
“Apabila mendapati tangki seorang penyelam hampir terjatuh, saya memberikan tanda isyarat untuk memintanya untuk berhenti dan menyuruhnya mengetatkan klip BCD yang dipakai.
“Penyelam itu membalas isyarat ‘OK’ dan kemudian meneruskan selaman tanpa memperbetulkan klip dan tangki yang dipakainya. Saya mengandaikan dia tidak memahami isyarat saya berikan.
“Maka, saya perlu memegang BCD yang dipakai dan memasang klip itu dan membetulkan kedudukan tangkinya. Ketika itu, saya terpaksa menyentuhnya bukan dengan niat melakukan gangguan seksual seperti didakwa,” katanya.’
James berkata, seorang lagi penyelam tidak memasang klip BDC di bahagian hadapan dengan betul, maka beliau perlu membantu memasang klip berkenaan.
Sebagai dive master, keselamatan penyelam dibawah kendalian mereka adalah satu tanggungjawab yang besar.
Katanya, kedua-dua penyelam itu tidak mempunyai pengalaman menyelam maka, mereka tidak faham situasi yang mereka hadapi dengan pemakaian BCD itu sebenarnya membolehkan mereka berdepan masalah.
“Jika saya tidak membantu memperbetulkan masalah BCD mereka, nyawa mereka berada dalam bahaya. Ini adalah pengetahuan asas bagi dive master untuk memastikan keselamatan dan juga peralatan penyelam tidak bermasalah.
“Sudah tentu sebelum turun ke laut, kami ada membuat pemeriksaan peralatan namun, ada kalanya ia boleh longgar ketika berada dalam air.
“Adakah tindakan saya membantu penyelam itu dianggap salah kemudian didakwa cuba melakukan gangguan seksual,” jelasnya.
James berkata, beliau sudah menjadi dive master selama tiga tahun. Belum pernah ada menyelam yang tidak berpuas hati dengan caranya membantu mereka di dasar laut.
Menurutnya, keselamatan penyelam adalah keutamaan dive master dan itulah etika profesional yang dipegang.
“Tindakan yang saya lakukan itu betul dan saya tidak menyesal menegur cara pemakaian BCD mereka walaupun pada akhirnya saya yang didakwa meraba mereka.
“Saya sudah berkeluarga, cuba fikir apa perasaan isteri dan anak saya jika saya kehilangan sumber pencarian disebabkan dakwaan yang tidak benar sebegitu,” ujarnya.
Wakil pengusaha pelancongan tempatan itu berkata, penyelam China itu tidak membuat sebarang aduan pada hari kejadian itu berlaku, iaitu pada 31 Mac.
“Namun, pada 1 April penyelam itu membuat aduan kepada ejen pelancongan Cina bahawa dive master berkelakuan tidak elok ketika membawa mereka melakukan DSD.
“Maka, kami menasihatkan supaya penyelam China itu membuat laporan polis. Syarikat kami tidak pernah mencadangkan memberi bayaran pampasan kepada wanita China itu dan menasihatkan mereka membuat laporan polis. Namun, sehingga hari terakhir mereka berada di Semporna, iaitu pada 2 April, tiada sebarang laporan polis yang dibuat.
Pada 11 April, akhbar China melaporkan insiden yang berlaku ke atas dua warga mereka ketika menyelam di Semporna.