BN tidak bertanding di Sandakan
22:04 Apr 22, 2019  |  By SabahKini2
BN tidak bertanding di Sandakan

Selepas bincang panjang lebar, kita putuskan tak akan ambil bahagian di PRK Sandakan, memandangkan Sandakan selama ini diwakili oleh rakan BN yang terdiri daripada parti tempatan Sabah

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hassan pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.

“Selepas bincang panjang lebar, kita putuskan tak akan ambil bahagian di PRK Sandakan, memandangkan Sandakan selama ini diwakili oleh rakan BN yang terdiri daripada parti tempatan Sabah.”

Hadir sama, Presiden MCA, Wee Ka Siong; Presiden MIC, SA Vigneswaran dan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kerusi Sandakan kosong susulan kematian Ahli Parlimen Stephen Wong Tien Fatt dari Pakatan Harapan pada 28 Mac lepas.

Pada pilihan raya umum ke-14, Wong menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon BN, Lim Ming Ho, yang mendapat 8,996 undi.

SPR menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon PRK Sandakan, 7 Mei sebagai hari pengundian awal dan 11 Mei sebagai tarikh mengundi.

Sementara itu, Mohamad mengucapkan terima kasih kepada parti-parti rakan atas kerjasama mereka sepanjang pilihan raya kecil DUN Rantau bulan lepas, yang menyaksikan kemenangannya.

“Kita sangat sukacita dengan gerakan semua parti yang turunkan jentera mereka kerja siang dan malam. Kerjasama itu keluarkan hasil yang baik,” katanya.

Seterusnya BN perlu bersedia dengan mempersiapkan strategi untuk pilihan raya umum ke-15, katanya.

“Kita tak akan terbawa-bawa dengan keputusan PRK Rantau kerana banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

Pada PRK 13 April lepas, Mohamad mempertahankan Rantau dengan majoriti 4,510 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, dan 2 calon Bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Comment