Kerajaan PH cadang wujudkan lesen 'orang tengah'
11:04 Apr 23, 2019  |  By SabahKini2
Kerajaan PH cadang wujudkan lesen 'orang tengah'

Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub berkata pelesenan memudahkan kerajaan memantau orang tengah

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbang idea mewujudkan lesen orang tengah dalam usaha mengawal sesetengah golongan itu yang menaikkan barang sesuka hati.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata pelesenan akan memudahkan kerajaan memantau orang tengah dalam aspek harga, lokasi penjualan dan jumlah hasil pertanian yang boleh dibeli mereka.

“Masalah utamanya siapa orang tengah ini? Kita boleh kenal melalui beberapa kriteria. Kalau kita boleh kenal pasti mereka, kenapa tidak kita berjumpa mereka dan lesenkan mereka.

“Itu idea peringkat awal yang bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi kalau tak bermula dari sekarang, kita tak boleh buat apa-apa dalam isu orang tengah," katanya ketika wawancara bersama media di Menara Lembaga Petubuhan Pelandang (LPP) di Kuala Lumpur, semalam.

Salahuddin berkata antara langkah segera bagi menangani isu itu pula dengan mewujudkan aplikasi pemasaran dalam talian.

Kata anggota parlimen Pulai itu, salah satu masalah yang dihadapi dalam isu itu ialah kekeliruan yang timbul apabila pemborong juga mungkin berperanan sebagai orang tengah.

"Kita tak boleh hapuskan mereka (orang tengah) kerana kadang-kadang kita keliru - pemborong itu mungkin juga orang tengah. Kadang-kadang mereka ada dua wajah juga.

“Sebab itu bukan hanya kementerian pertanian (untuk selesaikannya) tapi lima kementerian perlu duduk betul-betul untuk bincang pekara ini,” katanya lagi.

Beliau merujuk Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Orang Tengah yang dianggotai empat lagi kementerian lain iaitu Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Menurut laporan Utusan Malaysia 18 April lalu, jawatankuasa tersebut dijangka membentangkan cadangan penyelesaian dalam masa dua bulan lagi.

 

 

1 Comment