PRK Sandakan: Kerana calon 'Recycle', PBS bakal kalah kepada DAP
14:04 Apr 26, 2019  |  By SabahKini2
PRK Sandakan: Kerana calon 'Recycle', PBS bakal kalah kepada DAP

Pemilihan Linda, menjadikan PRK Sandakan anti klimaks, kerana tidak berlaku kejutan seperti mana diharapkan

SANDAKAN: Nampaknya ramai penganalisis politik Sabah, melihat jika parti PBS mencalonkan pendatang baru dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan, parti itu dapat memberi saingan kepada calon DAP- anak bungso mendiang Wong Tein Fatt- Vivian Wong.

Namun, kini harapan itu punah, apabila PBS mencalonkan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), calon "recycle" parti yang tewas di Parlimen Batu Sapi pada PRU-14 lalu Datuk Linda Tsen Thau Lin.

Linda merupakan ahli parlimen Batu Sapi 2 penggal, tewas kepada calon parti Warisan Sabah pada PRU-14 lalu apabila Datuk Liew Vui Keong (Warisan) menang dengan majoriti 4,619 undi.

Pemilihan Linda, menjadikan PRK Sandakan anti klimaks, kerana tidak berlaku kejutan seperti mana diharapkan. Semua pengundi Batu Sapi kenal khidmat Linda. Kini Linda berpindah pula ke Parlimen Sandakan.

Warganet meramalkan sebelum hari pengundian pun anak mendiang Wong Tein Fatt itu akan menang. Sekalipun Vivian Wong adalah manifestasi kronisme DAP memilih calon namun ia mungkin tidak menggugat kedudukan DAP.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika mengumumkan pencalonan itu berkata Thau Lin, 64, memiliki pengalaman untuk mewakili Parlimen Sandakan.

“Dia bukan asing di Sandakan dan pernah menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal. Dia sudah terbukti mempunyai rekod yang baik dan pilihan terbaik untuk menjadi suara rakyat Sandakan di Parlimen.

“Kita perlu seorang yang bukan saja berpengalaman malah pernah berkhidmat dengan baik di kawasan diwakilinya sebelum ini. Beliau sangat rapat dengan akar umbi,” katanya pada sidang media pengumuman calon PBS, di sini, hari ini.

Maximus berkata, pihaknya sudah menduga DAP akan meletakkan ahli keluarga mendiang Tien Fatt, namun katanya PBS membuat keputusan memilih Thau Lin kerana beliau berada di kedudukan terbaik untuk mewakili rakyat Sandakan.

Maximus dan PBS hanya berpegang pada analisis  kekecewaan rakyat terhadap kerajaan persekutuan dan negeri berhubung kegagalan mereka untuk memenuhi janji pilihan raya sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei tahun lalu.

“Ini tugas kita (PBS), menawarkan pilihan kepada pengundi Sandakan untuk mempertahankan hak mereka dan memastikan suara mereka didengar. Misi kita jelas,” katanya.

Beliau berkata, PBS menerima sokongan daripada parti yang sependapat dengan mereka iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), UMNO dan MCA.

PBS, katanya akan membangkitkan isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), aspek keselamatan dan pembangunan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat di Sandakan.

Bagaimanapun beberapa penganalisis berkata PBS lupa tentang sikap pengundi hari ini yang tidak gemar kepada calon yang dilihat gagal berkhidmat sehingga kalah dalam PRU14.

Sekalipun bersandarkan pengalaman sebagai MP Thau Lin, lulusan Licentiate Trinity College of Music di London dan Fellowship London College of Music tentu Linda berhadapan penilaian pengundi tentang khidmatnya sebelum ini di Batu Sapi.

Dengan majoriti 10,098 diperoleh DAP pada pilihan raya lalu, ia tugas yang berat untuk mengalahkan DAP pada PRK ini di Parlimen Sandakan.

 

12 Comments