Bung Moktar mengaku tidak bersalah kes rasuah Felcra
12:05 May 03, 2019  |  By SabahKini2
Bung Moktar mengaku tidak bersalah kes rasuah Felcra

Hakim, Rozina Ayob membenarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

KUALA LUMPUR – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini (3 Mei 2019) atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah RM2.8 juta bagi pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) berjumlah RM150 juta, empat tahun lalu.

Bung Moktar, 60, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Bung Mokhtar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa secara rasuah memperoleh wang suapan tersebut melalui akaun isterinya Zizie Izette, 41, sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II agar agensi itu membuat pelaburan RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesemua wang tersebut diberikan oleh dua ejen pelaburan Public Mutuar Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, dan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) di bawah nama Ziezie Izette.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melewati di sini antara 12 hingga 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Ja’afar mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) yang boleh dihukum dibawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Bung Moktar berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Hakim, Rozina Ayob membenarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Bung Moktar dilarang ke luar negara dan pasportnya diserahkan di mahkamah sehingga kes selesai.- SH

2 Comments