Penagih dadah tikam imam kerana tidur terganggu bacaan Al Quran
20:05 May 12, 2019  |  By SabahKini2
Penagih dadah tikam imam kerana tidur terganggu bacaan Al Quran

Hasil soal siasat suspek mengaku menikam mangsa menggunakan sebilah pisau kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu tidurnya

SEORANG penganggur menikam imam gara-gara bengang dengan tindakan lelaki terbabit yang didakwa mengganggu tidurnya dengan bacaan al-Quran di Masjid Kampung Apal, Jerteh, pagi tadi.

Akibat perbuatan biadap suspek itu, mangsa berusia 37 tahun yang cedera akibat tikaman itu menerima tujuh jahitan di kiri dadanya.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa membaca al-Quran di ruang solat masjid sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang.

Beliau berkata, suspek kemudian menikam dada mangsa menggunakan objek tajam dan melarikan diri sebelum mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah imam di sebuah surau di Kertih, Chukai dan pulang ke daerah ini kerana menguruskan jenazah ayahnya yang meninggal dunia kelmarin.

“Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, suspek berusia 23 tahun ditahan tidak lama kemudian dan kita turut merampas pisau yang digunakan untuk menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zamri berkata, hasil soal siasat suspek mengaku menikam mangsa menggunakan sebilah pisau kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu tidurnya.

Katanya, siasatan mendapati jarak rumah suspek dan tempat kejadian kira-kira 100 meter dan suspek yang positif methamphetamine turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes mencederakan orang dan penyalahgunaan dadah sebelum ini.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

1 Comment