Ketua Menteri akur dengan persatuan pemilik ladang tidak laksana cukai taksiran hartanah
21:05 May 12, 2019  |  By SabahKini2
Ketua Menteri akur dengan persatuan pemilik ladang tidak laksana cukai taksiran hartanah

Shafie Apdal mengambil maklum mengenai harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah ketika ini

Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) menyambut baik keputusan kerajaan negeri Sabah untuk tidak melaksanakan cadangan Cukai Taksiran Hartanah (PAT) ke atas kilang sawit dan kuarters pekerjanya.

Presiden MEOA Jeffery Ong berkata peladang sawit di Sabah gembira apabila Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal dalam dialog bersama usahawan negeri itu baru-baru ini, mengumumkan bahawa cadangan PAT itu tidak akan dilaksanakan.

“Ketua Menteri Sabah itu berkongsi pandangan bahawa beliau mengambil maklum mengenai harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah ketika ini dan menjejaskan peladang sawit serta cukai berkaitan. Bagaimanapun, kerajaan negeri amat memerlukan Cukai Jualan dan tidak akan menambah cukai baharu.

“Pembatalan cadangan pelaksanaan PAT itu disambut baik serta dihargai oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ong, sebagai sebuah komoditi, pengeluar MSM juga adalah penerima dan bukan penentu harga manakala harga MSM yang rendah terbukti memberi kesan kepada semua peringkat rantaian bekalan huluan membabitkan pengeluar Tandan Buah Segar (TBS) sehinggalah MSM.

Oleh itu, katanya, sebarang cukai baharu akan hanya menjejaskan daya saing serta kemampanan industri sawit di Sabah yang masih dalam peringkat untuk pulih daripada impak fenomena cuaca El Nino, harga MSM yang rendah serta kekurangan pekerja ladang.

“Inilah kebimbangan segera dan ketara kalangan pekebun kecil serta membabitkan keuntungan syarikat perladangan serta kilang.

“Sebelum ini, dalam keadaan harga MSM yang rendah, kos pengeluaran sebaliknya terus meningkat dengan pelbagai cukai, levi, keperluan pematuhan mandatori termasuk semakan semula gaji minimum sebanyak 20 peratus yang telah dikenakan ke atas peladang sawit di Sabah,” katanya.

Salah seorang ahli majlis persatuan itu, Joseph Tek pada dialog itu turut membangkitkan bahawa cukai yang dijadual dilaksanakan di Sabah oleh beberapa pihak berkuasa tempatan itu, meliputi PAT ke atas kilang minyak sawit dan kuarters pekerjanya yang berkaitan dengan Ordinans Kerajaan Tempatan Sabah 1961.

Pada masa ini, jurunilai yang dilantik telah menjalankan kaji selidik berkaitan di kilang sawit.

Implikasi kewangan tahunan membabitkan pelaksanaan cukai itu adalah tinggi dan kos tambahan itu akan diserap kepada semua pembekal tanaman yang turut termasuk pekebun kecil dan pemilik ladang yang menjual TBS ke kilang-kilang terbabit.

Selain itu, wujud kemungkinan berlakunya ketidakpatuhan membabitkan pelaksanaan skim Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang sedang dijalankan.

 

--Bernama

Comment