SB perlu perkenalkan diri hadir majlis kami kata Naib Presiden Warisan
15:05 May 14, 2019  |  By SabahKini2
SB perlu perkenalkan diri hadir majlis kami kata Naib Presiden Warisan

Mereka perlu memohon untuk hadir, selain memperkenalkan diri.

KOTA KINABALU: Naib presiden Warisan, Junz Wong bertegas anggota polis Cawangan Khas (SB) perlu memperkenalkan diri mereka jika mahu menghadiri acara parti Warisan dan kerajaan.

“Kita tidak boleh terima orang hadir ke acara tertentu dengan mendakwa mereka wartawan. Itu mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wong sebelum ini berkata, pegawai Cawangan Khas tidak dibenarkan menghadiri mana-mana sidang media jika mereka tidak dijemput.

Beliau juga berkata, mereka perlu memohon untuk hadir, selain memperkenalkan diri.

Wong berkata, walaupun sebelum ini adalah menjadi kebiasaan polis menghantar anggota SB ke majlis anjuran kerajaan dan pembangkang, tetapi Warisan memutuskan untuk menghentikan amalan itu.

IGP terkejut

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador sebelum itu mempertahankan kehadiran anggota SB ke acara kerajaan dengan berkata tujuan mereka ke situ adalah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam.

Hamid berkata, SB tidak akan berminat hadir sekiranya sesebuah parti mengadakan aktiviti di premisnya sendiri, tetapi akan hadir jika acara itu diadakan di tempat awam.

 

 

13 Comments