6 pegawai, anggota polis samun pengurup wang diberkas
22:05 May 21, 2019  |  By SabahKini2
6 pegawai, anggota polis samun pengurup wang diberkas

Ketika serbuan, suspek menyatakan mangsa menjalankan kegiatan tukaran mata wang asing tanpa lesen perniagaan.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota lain-lain pangkat ditahan kerana disyaki menyamun RM204,000 daripada seorang pengurup wang ketika melakukan 'serbuan', kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa yang juga pengurus syarikat pengurup wang di bangunan Cahaya Suria, Jalan Silang, di sini, didatangi sembilan individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dan anggota polis Bukit Aman serta pegawai Bank Negara Malaysia.

Ketika serbuan, suspek menyatakan mangsa menjalankan kegiatan tukaran mata wang asing tanpa lesen perniagaan.

Sumber berkata, suspek kemudian menawarkan penyelesaian kes dengan mangsa diarahkan membayar RM200,000 sekiranya mahu dilepaskan.

“Mahu perkara itu diselesaikan dengan segera, mangsa kemudian mengarahkan pemandunya mengambil wang dari rumahnya sebelum menyerahkan kepada suspek di hentian bas hadapan bangunan pusat beli-belah Kota Raya.

"Suspek turut mengambil wang tunai sebanyak RM4,000 ketika menjalankan serbuan berkenaan di bangunan Cahaya Suria," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum satu operasi mengesan semua suspek terbabit dilakukan oleh Polis Daerah Dang Wangi.

Susulan itu, sekitar jam 4 pagi tadi, seorang pegawai dan empat anggota yang bertugas di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Turut ditahan seorang anggota Balai Polis Trafik Jalan Bandar, yang juga abang kepada salah seorang suspek dari IPD Petaling Jaya.

Difahamkan, wang RM4,000 sudah dipulangkan kepada mangsa manakala wang RM200,000 dipercayai sudah dibahagikan dengan setiap suspek menerima RM18,000 seorang.

Pada masa ini juga polis sedang mengesan seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, yang turut memainkan peranan dalam kes samun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim belum memberi pengesahan dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.- BH Online

 

 

 
Comment