SPRM digesa panggil Ismaily Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah dakwaan rasuah Warisan
08:05 May 23, 2019  |  By SabahKini2
SPRM digesa panggil Ismaily Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah dakwaan rasuah Warisan

Sekalipun dakwaan Ismaily Bongsu itu dianggap merosakkan imej Warisan, Ismaily tidak berganjak malah menunjukkan bukti-bukti "politik wang' berlaku dalam Warisan.

KOTA KINABALU: Sebuah NGO Gerakan Anti Rasuah Malaysia (Geram) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah dalam pemilihan Warisan baru-baru ini.

Seperti dilapor portal FMT, Jurucakap Geram Rauf Jualis berkata, ahli Warisan, Ismaily Bungsu mendakwa individu tertentu memberi rasuah kepada perwakilan parti untuk menang jawatan dalam Majlis Tertinggi Warisan.

“Ismaily membuat dakwaan itu melalui laman Facebook dan aplikasi whatsapp dengan berkata, calon tertentu memberi antara RM100 ke RM150 kepada perwakilan sebagai suapan supaya mengundi mereka.

“Hantarannya itu kemudian tular dan ini merupakan bukti yang mencukupi untuk SPRM memulakan siasatan siapakah menteri dan pemimpin Warisan yang didakwa merasuah perwakilan parti itu,” katanya.

Ismaily yang juga merupakan pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah menaikkan status Facebook beliau kira-kira 2 minggu lepas setelah kalah pemilihan parti. 


Beliau juga menaikkan foto seorang wanita memegang 2 bungkusan dengan nombor calon yang didakwa mengandungi wang.

Ismaily mengingatkan bahawa amalan sedemikian akan memusnahkan Warisan.

Beliau berkata, sesetengah anggota parti menuduhnya mahu merosakkan imej Warisan dengan membuat dakwaan itu.

Bagaimanapun Ismaily mempertahankan tindakan itu dengan berkata, ia dibuat kerana beliau menyayangi parti. Terdapat netizen menyokong usaha Ismaily itu.

Rauf, yang memuji keberanian Ismaily, menggesanya membuat laporan kepada SPRM, selain bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

“Beliau mungkin melanggar Seksyen 25(1) dan (2) Akta SPRM 2009 dan boleh didenda hingga RM100,000 dan dihukum penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika enggan memberi kerjasama,” kata Rauf.

Beberapa pegawai kanan Negeri turut bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi Warisan tewas dalam pemilihan itu seperti Amarjit Singh Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang dulu pernah terlibat kes rasuah KKLW dan JANS namun tewas.

Bagaimanapun Hj Abdullah Minun Sahirun Pengarah UPPM Negeri Sabah menggunakan nombor 2 menang dalam pemilihan itu. Beliau merupakan Naib Ketua Bahagian Warisan Semporna.

Dato' Seri Shafie Apdal Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan setakat ini tidak memberi apa-apa respon berhubung dakwaan rasuah oleh Ismaily Bongsu Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah yang tewas itu.

Apakah tindakan SPRM selepas ini? SPRM sebelum ini melalui Ketua Pesuruhjayanya Dato’ Seri Shukri berkata SPRM akan menyiasat apa sahaja kes rasuah walaupun tiada aduan dibuat.

Siapakah di kalangan AMT ini yang membeli Undi? Ismaily Bungsu mesti mendedahkan fakta ini kepada SPRM

 

6 Comments