[VIDEO] Polis buru penyamun Penampang bersenjata rakaman CCTV
15:05 May 24, 2019  |  By SabahKini2
[VIDEO] Polis buru penyamun Penampang  bersenjata rakaman CCTV

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek dikesan memakai topi keledar dengan bersenjatakan parang sebelum melarikan mesin wang di dalam premis yang dimasuki.

Rakaman CCTV

PENAMPANG: Polis kini memburu suspek yang melakukan samun bersenjata di beberapa premis di sini melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek dikesan memakai topi keledar dengan bersenjatakan parang sebelum melarikan mesin wang di dalam premis yang dimasuki.

 

“Kejadian pertama berlaku pada 14 Mei apabila suspek memasuki kedai menjual kek kira-kira jam 7 malam di Jalan Bundusan.

“Suspek mengacukan parang kepada penjaga kedai lalu melarikan mesin juruwang sebelum meninggalkan premis.

“Kira-kira seminggu selepas itu, satu lagi kedai menjual kek dan roti turut dimasuki seorang lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan parang sebelum melarikan mesin juruwang,” katanya sambil menambah, kejadian berlaku pada jam 7 malam.

Beliau berkata, keesokan harinya sebuah kedai serbaneka 24 jam juga dilaporkan dimasuki sekumpulan lelaki bersenjata pisau kira-kira jam 3 pagi di Pekan Towering, di sini.

“Kedua-dua suspek pada kes pertama dan kedua dikesan menggunakan topi keledar berwarna ungu cair, memakai seluar jeans serta menaiki motosikal berwarna hitam.

“Bagi kes kali ketiga, suspek utama daripada lima sekawan itu berbadan kurus dengan rambut berwarna perang yang ditocang,” katanya.

Oleh itu, beliau meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan dan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang di talian 013 679 1700. 

 

 



3 Comments