Polis terima 7 laporan kes borang 'JPN dan Warisan'
09:05 May 25, 2019  |  By SabahKini2
Polis terima 7 laporan kes borang 'JPN dan Warisan'

TJ Jamain yang dilaporkan polis oleh Warisan turut membuat 3 laporan melalui pemuda SAPP

KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah menerima tujuh laporan berhubung dakwaan pengeluaran borang palsu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tertera lambang Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang tular melalui media sosial, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata justeru orang ramai diminta menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Setakat ini, sebanyak tujuh laporan polis diterima. Serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan kerana bimbang nanti ada sindiket yang terbabit cuba merosakkan nama pihak tertentu.

“Oleh itu, saya menasihatkan supaya jangan membuat spekulasi atau andaian sebelum pihak polis menjalankan siasatan terperinci,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pengeluaran borang palsu JPN tertera lambang WARISAN yang didakwa membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memohon dokumen pengenalan diri, disyaki didalangi sindiket untuk mengaut keuntungan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, dipetik sebagai berkata sindiket terbabit dipercayai mengambil kesempatan terhadap warga asing yang sanggup membeli borang itu kerana terdesak tanpa mengetahui mereka ditipu.

Sementara itu pemuda SAPP TJ Jamain yang sebelum ini lapor polis kerana hantaran facebook mengenai broang JPN dan Warisan turut memaklumkan bahawa SAPP turut membuat 3 laporan kepada polis berhubung isu itu di pelbagai daerah.

 

5 Comments