6 perompak samurai larikan barang kemas RM900,000
22:06 Jun 03, 2019  |  By SabahKini2
6 perompak samurai larikan barang kemas RM900,000

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun yang ditemani rakannya berusia 41 tahun terlanggar sebuah kereta jenis BMW yang tiba-tiba berhenti secara mengejut.

BUTTERWORTH: Enam perompak melarikan lima kilogram (kg) barangan kemas bernilai RM900,000 selepas menyamun dua lelaki di hadapan sebuah rumah pam Jalan Jelawat, Seberang Jaya, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun yang ditemani rakannya berusia 41 tahun terlanggar sebuah kereta jenis BMW yang tiba-tiba berhenti secara mengejut.

Kemudian, tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pedang samurai keluar dari kenderaan berkenaan menuju ke arah kereta jenis Proton X70 yang dinaiki mangsa bersama rakannya.

Bimbang dicederakan, rakan mangsa yang memandu kenderaan itu cuba menyelamatkan diri dengan mengundurkan kereta, namun tiba-tiba datang lagi sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari arah belakang menghalang mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata suspek bertindak memecahkan cermin kereta mangsa di bahagian hadapan kiri serta kanan dan beberapa suspek lain menarik mangsa dan rakannya keluar dari kenderaan mereka.

“Suspek kemudian merampas beg duit daripada mangsa dan rakannya sebelum melarikan kenderaan dinaiki mereka tanpa mengetahui terdapat beg mengandungi barang kemas seberat lima kilogram bernilai kira-kira RM 900,000 disimpan di belakang bonet kenderaan itu.

“Usaha mengesan kesemua suspek kini giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang ditemani rakannya dalam perjalanan ke sebuah kedai emas di Jitra, Kedah atas urusan perniagaan sebelum disamun.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, polis turut meneliti sama ada terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan berikutan keadaan kawasan itu yang sunyi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.- BH

Comment